Filem: Lee Chong Wei: Rise of the Legend Pengarah: Teng Bee Pelakon: Tosh Chan, Datuk Rosyam Nor, Jake Eng, Yeo Yann Yann, Mark Lee, Uriah See, Ashley dan Sherie Merlis. Genre: Drama/Biografi Durasi: 125 minit Pengedar: GSC Movies Tarikh Tayangan: 15 Mac 2018 JIKA diselak direktori filem tempatan, percayalah, tidak banyak filem bercorak biografi yang dihasilkan di negara ini. Penulis percaya untuk menghasilkan filem biografi di negara ini bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dan dititikberatkan dalam merealisasikan sebuah filem biografi. Seandainya proses untuk menghasilkannya begitu mudah, penulis percaya akan lebih banyak filem biografi yang akan dihasilkan dengan melibatkan tokoh-tokoh ternama dan popular. Untuk menghasilkan filem sedemikian, ia tidak boleh direalisasikan semalaman jika tidak memiliki skrip yang kuat dengan latar belakang cerita yang dapat memantapkan lagi pembikinannya kelak. Bahkan, penyelidikan dan rujukan untuk sesebuah topik itu memerlukan tempoh yang lama dengan memilih cerita yang memberikan impak dan bukannya mahu bercerita tentang sejarah hidup semata-mata tentang tokoh itu. Namun, dalam konteks filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend atau Lee Chong Wei yang baharu sahaja menemui penonton minggu lalu, penulis menganggap karya ini sebagai bertuah kerana masih mempunyai sumber yang lengkap untuk membikinnya. Sementelah, subjeknya yang cukup dekat dengan rakyat Malaysia yang pastinya mahu melihat sendiri bagaimana perjalanan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dari awal hingga terkini sehingga menjadi salah seorang legenda hidup (living legend) negara. Filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend ada kelebihan dan kekurangannya. Penulis sendiri juga tidak mahu melepaskan peluang menonton filem ini selepas menyaksikan sedutan filemnya beberapa kali sambil menjangkakan bahawa filem arahan Teng Bee (Kepong Gangster, 2012) ini mampu memberikan satu perspektif baharu dalam sinema tempatan. Sekadar mengingatkan pembaca bahawa ulasan dan kritikan filem yang ditulis ini adalah jujur dan luhur tanpa ada sebarang agenda tersembunyi seandainya ada yang berfikiran sebaliknya selepas membaca tulisan ini. Sebagaimana penulis memberitahu di awal, dalam melahirkan sebuah filem biografi, pemilihan cerita dan latar belakang memainkan peranan penting untuk meninggalkan impak dan seterusnya menjadi sebuah filem yang akan dikenang untuk tempoh yang lama. Akan tetapi, perkara ini tidak dirasai oleh penulis usai menonton Lee Chong Wei beberapa hari lalu. Namun, itu bukanlah bermakna filem ini berada dalam kelompok teruk mahupun buruk. Ia masih lagi boleh ditonton tetapi penulis tidak merasakan impak yang terhasil daripada filem ini apabila penulis melihat Lee Chong Wei hanya bergerak sekadar di permukaan sahaja tanpa diselusuri sehingga ke dasar. Akibatnya, ia menjadi sebuah filem biografi biasa dan tidak memiliki kehebatan yang setara dengan status yang disandang oleh Chong Wei sendiri selaku pemain badminton terkenal dunia. Lakonan Rosyam Nor sebagai Datuk Misbun Sidek dalam filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend. Kelemahan Lee Chong Wei adalah dari sudut penceritaan yang tidak diteroka dengan sebaiknya dengan memilih satu cerita yang benar-benar dapat melihat sisi berbeza Lee Chong Wei yang barangkali tidak ramai tahu tentang dirinya. Daripada rujukan dan penyelidikan yang dibuat penulis, filem ini diadaptasi daripada buku tulisan Chong Wei sendiri berjudul Dare To Be A Champion yang diterbitkan pada tahun 2012. Boleh difahami penulis cerita dan lakon layar filem ini mahu bercerita tentang kehidupan Chong Wei yang tidak bermula dengan indah tetapi berkat kesungguhan, pengorbanan dan disiplin, beliau mampu memiliki apa yang dikecapinya hari ini. Tetapi paparan dan perjalanan Lee Chong Wei yang bergerak secara linear ini nampaknya tidak mencengkam dan sekali gus tidak berupaya memberikan satu penghormatan yang sewajarnya untuk tokoh sukan ternama itu. Bukan itu sahaja, disebabkan penghasilannya begitu rupa, ia tidak memiliki momentum dan klimaks yang bisa membuatkan penonton tersihir dengan magis visual dan cerita yang mungkin dapat membuatkan mereka meremang bulu roma. Hasilnya, penerbitan filem Lee Chong Wei dilihat sebagai sebuah filem yang selamat dan mahu menggembirakan semua pihak kerana ia dihasilkan secara positif tanpa perlu ada anasir-anasir yang tidak sepatutnya. Tosh Chan yang memegang watak sebagai Datuk Lee Chong Wei dalam filem ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’. Walhal, jika adanya suntikan anasir negatif itu, penulis percaya sesuatu yang lebih berharga mampu dicipta oleh Lee Chong Wei. Unsur negatif yang penulis maksudkan itu bukanlah konotasi yang sangat buruk. Tetapi, negatif itu adalah sesuatu yang dapat memberikan pulangan yang positif terutama kepada penonton untuk melihat dari sudut pandang berbeza. Dalam konteks ini, penceritaan itu sepatutnya memainkan peranan penting dengan memilih momen terpenting dalam karier Chong Wei dan divisualkan dengan permainan cerita untuk menyokong filem ini terus bergerak. Lantaran itu, sekadar berkongsi idea, penulis beranggapan detik sewaktu Chong Wei disahkan kerana salah guna dadah (doping) pada tahun 2014 sepatutnya dijadikan sebagai cerita utama filem ini dan menyelami perasaan Chong Wei ketika berdepan dengan situasi yang menyulitkan itu. Ini yang dinamakan sebagai anasir negatif jika dilihat secara kasar tetapi ia boleh bertukar menjadi sebuah yang positif apabila ia disulami dengan cerita-cerita yang dapat digunakan sebagai teknik imbas semula seperti hubungannya dengan keluarga, isteri dan juga jurulatihnya. Penulis percaya sesiapa sahaja yang berjaya di dunia ini semuanya bermula dari bawah dan berhadapan dengan pelbagai dugaan dan rintangan sebelum mencipta kejayaan. Pelakon komedi kelahiran Singapura, Mark Lee membawakan watak sebagai Lee Ah Chai. Jadi, apabila cerita kepayahan dan kesukaran hidup Chong Wei diabadikan secara visual dalam filem yang menelan kos sebanyak RM6 juta ini, apakah bezanya dengan cerita mereka yang berada dalam ruang lingkup serupa dengan Chong Wei? Bukan mempertikaikan mahupun mempersoalkan takdir hidup, tetapi bicara penulis adalah dari sudut visual dan pembikinan filem. Disebabkan itu, untuk menzahirkan sebuah filem biografi, momen dan detik terpenting dalam hidup seseorang tokoh itu amat penting. Ini adalah kerana jika ia dijadikan sebagai cerita utama, tidak mustahil filem Lee Chong Wei dapat menjadi sebuah filem yang meletakkan satu tanda aras baharu dalam pembikinan filem tempatan terutama bercorak biografi. Dalam konteks ini dan bukan hendak membandingkan dengan filem Hollywood, tetapi, penulis memberikan contoh terbaik dan terkini iaitu filem Battle of the Sexes (2017) yang berkisarkan tentang sukan tenis tetapi plot utama ceritanya adalah tentang sebuah perlawanan epik dalam sejarah sukan itu di Amerika Syarikat selain ada subplot yang menyokong. Selain itu, dari sudut teknikal, filem Lee Chong Wei berhadapan dengan sedikit masalah sinematografi yang pada hemat penulis tidak begitu menyakinkan kerana tidak menampakkan dimensi masa yang tepat untuk menghidupkan visual di layar. Rosyam Nor dan Sherie Merlis dalam salah satu babak filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend. Tetapi, pujian harus diberikan untuk aspek teknikal lain seperti suntingan dan penataan bunyi yang berhak diberikan markah tambahan dalam mewujudkan satu pengalaman menyaksikan perlawanan badminton secara realiti di depan mata. Dari sudut lakonan pula, Tosh Chan bertuah kerana dikurniakan dengan wajah dan bentuk fizikal yang hampir menyamai Chong Wei lalu menjadikan anak muda itu sebagai penyelamat kepada filem ini. Tetapi, sebagai orang baharu, Tosh Chan masih banyak perlu diperbaiki kerana mutu lakonannya berada pada tahap biasa-biasa sahaja. Untuk Rosyam Nor pula, rasanya kalau difikirkan memang tidak ada aktor lain yang boleh membawakan watak Datuk Misbun Sidek kecuali Rosyam tetapi lakonan bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM dua kali ini seperti sudah biasa ditonton sebelum ini. Pun begitu, penulis sukakan lakonan bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Festival Filem Golden Horse Taipei ke-50 (2013), Yeo Yann Yann dan bekas calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 24 (2011), Sherie Merlis dalam filem ini. Masing-masing yang membawakan watak ibu kepada Chong Wei dan isteri kepada Misbun menghidupkan watak dengan kelembutan dan kekuatan sendiri yang dilihat mengimbangi jalan cerita ini di sebalik dominasi karakter lelaki. ***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Akifma 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.