suria

Apa sebenarnya visi Raja Azmi dalam ‘Enjin No. 9’

Enjin No 9 mula ditayangkan di pawagam sejak 29 Mac lalu.

Filem: Enjin No. 9

Pengarah: Raja Azmi Raja Sulaiman

Pelakon: Kazar Saisi, Tajul Arif, Datin Fadilah Mansor, Sharifah Shahirah, Ayuni Asyiqin, Syuhaida Abraz (Dottie) dan Bila Najmi (Bila AF 2015).
Genre: Komedi

Durasi: 94 minit

Pengedar: Metrowealth Pictures Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 29 Mac 2018

MAHU atau tidak, harus diakui bahawa penguasaan pengarah filem wanita dalam konteks pembikinan filem cereka di negara ini masih belum menyeluruh.

Biarpun sinema tempatan sudah melahirkan beberapa orang pengarah wanita, akan tetapi, pengaruh dan hasil kerja mereka yang diingati ramai hanyalah beberapa kerat sahaja.

Itupun menerusi filem-filem cereka yang diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Erma Fatima jika mengambil konteks dalam arus kebangkitan suara wanita pada era 90-an (kedua-dua filem pertama Shuhaimi Baba dan Erma diterbitkan pada era tersebut).

Sebelum kelahiran dua nama yang penulis anggap besar dan memiliki jenama yang agak memberangsangkan itu, nama-nama seniwati veteran seperti Datuk Rosnani Jamil dan Allahyarham Datin Saadiah (pengarah filem wanita pertama negara) lebih dahulu mencuri perhatian dengan karya yang dibentuk dalam acuan mereka sendiri.

Tahun 2000 pula menyaksikan nama Allahyarham Yasmin Ahmad yang mencetuskan revolusi baharu dalam filem tempatan dengan kelahiran filem cereka pertama arahannya, Sepet (2005) dan empat filem lain menyusul selepasnya sebelum beliau meninggal dunia tahun pada 2009.

Akan tetapi, setakat tahun 2018, masih belum ada pengarah wanita yang lahir dengan karya-karya yang dapat melambangkan dan mewakili suara wanita alaf baharu ini serta mengangkat kedudukan wanita dalam filem pada kedudukan yang sewajarnya.

Tajul yang memegang watak sebagai Ujang cucu kepada Pak Leman lakonan Kazar.

Jika ada sekalipun, dua buah karya yang penulis ingati dan berada dalam senarai filem yang boleh dibanggakan adalah daripada Ellie Suriyaty Omar dan Zarina Abdullah yang mengarahkan filem cereka pertama mereka, Penanggal (2013) dan Chermin (2007).

Hasil kerja mereka itu berbalas dengan kejayaan di pentas Festival Filem Malaysia apabila kedua-duanya diiktiraf dengan trofi Pengarah Harapan Terbaik masing-masing pada tahun 2014 dan 2007.

Lalu, apabila penerbit filem wanita kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman menongkah arus dengan mencabar dirinya menjadi pengarah filem buat pertama kalinya menerusi filem Enjin No. 9, penulis menerimanya dengan terbuka atas beberapa faktor.

Pertamanya, penulis menganggap kehadiran Raja Azmi sebagai pembuka jalan untuk menarik perhatian ramai lagi wanita di luar sana untuk bergelar pengarah filem meskipun usia bukan satu halangan (Raja Azmi menjadi pengarah filem pada usia 59 tahun).

Bukan itu sahaja, keberanian Raja Azmi itu wajar juga dipuji kerana beliau mahu mencuba sesuatu yang baharu dan barangkali mahu merasai pengalaman menduduki kerusi pengarah seperti rakan seangkatannya yang lain.

Walaupun sebelum kehadiran Raja Azmi, nama-nama seperti Eyra Rahman dan Yana Samsudin pernah mewarnai dunia hiburan tempatan dengan karya mereka, tetapi impak yang terhasil masih belum cukup kuat.

Bila (AF) pertama kali mencuba berlakon. 

Justeru, penulis mahu melihat apakah visi Raja Azmi menerusi filem Enjin No. 9 dengan mempertaruhkan pelakon yang cukup sinonim dengan watak komedi, Kazar Saisi dan penyanyi baharu, Tajul Arif selain beberapa nama baharu dan lama lain.

Lebih selesa mempertaruhkan genre komedi, ternyata Raja Azmi masih perlu banyak belajar tentang selok-belok pengarahan filem kerana hasil kerjanya untuk filem ini belum mencapai tahap membanggakan.

Penulis menjangkakan Enjin No. 9 dapat memberikan satu penontonan yang menyeronokkan biarpun sebuah komedi ringan tetapi malangnya, ia tidak mencapai seperti apa yang diharapkan.

Tertanya-tanya juga penulis tentang visi Raja Azmi dalam menghasilkan cerita dan lakon layar Enjin No. 9 kerana secara terang-terangan, filem ini memiliki kelemahan dan kelompongan yang boleh dipertikaikan.

Cerita dan tema tentang seorang lelaki Melayu yang lanjut usia dan masih bernafsu untuk berkahwin lagi adalah sesuatu yang memang cukup klise. Mahu atau tidak, ia harus diakui kerana tema seperti itu sudah banyak diceritakan menerusi drama televisyen juga.

Pada awal cerita ini, penulis berasa yakin bahawa ceritanya tidak akan menjadi klise walaupun temanya sebegitu rupa tetapi kesudahannya, ia masih berlegar dalam acuan cerita yang sama dan mengukir senyuman sinis.

Antara babak dalam Enjin No 9.

Apakah lelaki Melayu beragama Islam ini hanya layak digambarkan sebagai golongan yang sepertinya tidak boleh hidup tanpa wanita biarpun watak Pak Leman (lakonan Kazar) itu sudah berkahwin sebanyak lapan kali dan berusia 70 tahun?

Seperti mana yang penulis katakan, di awal filem ini pemaparan watak Pak Leman itu seperti memberi nafas baharu kepada watak lelaki tua yang bukan klise (selalunya digambarkan sebagai lelaki miang dan gatal biarpun sudah berusia 70 tahun) apabila tidak digambarkan dia berkeinginan mahu berkahwin lagi.

Apa yang dipertontonkan kepada penonton hanyalah bagaimana Pak Leman bercerita tentang lapan bekas isterinya dengan pelbagai personaliti. 

Namun kekeliruan mula timbul apabila muncul cucunya, Ujang (Tajul) dan isterinya, Nora (Ayuni Asyiqin) yang digambarkan begitu menggalakkan datuknya itu berkahwin untuk kali ke sembilan tanpa ada sebab yang kukuh.

Kekeliruan yang penulis maksudkan di sini apabila jalan cerita dan lakon layarnya tidak seiring dan seimbang dengan skrip menerusi beberapa babak melibatkan Ujang, Pak Leman dan juga Nora.

Walhal, kononnya dikatakan Pak Leman yang beriya-iya mahu berkahwin lain walaupun tanpa sebarang alasan kukuh tetapi cara penyampaian visualnya pula berbeza. Dalam erti kata lain, kelemahan ketara ini seperti perbuatan yang tidak menggambarkan apa yang diucapkan di bibir.

Tajul bergandingan dengan bintang baharu, Ayuni Asyiqin.

Apa yang penulis nampak hanyalah baik Ujang mahupun Nora, mereka seperti tidak ikhlas melunaskan tanggungjawab mereka terhadap Pak Leman kerana seperti apa yang dipaparkan, kedua-duanya melakukan tugas atas nama wang semata-mata.

Begitu juga dengan kemunculan watak Leha (Sharifah Shahirah) yang kononnya dipaparkan sebagai pembela kaum wanita yang menentang sekeras-kerasnya tindakan Pak Leman berkahwin semula dengan wanita berusia yang baru kematian suami, Limah (Fadilah Mansor).

Tetapi, dalam masa yang sama, tidak jelas apakah sebenarnya peranan Leha jika benar dia digambarkan sebagai seorang feminis yang memperjuangkan hak-hak wanita jika diteliti sedalamnya definisi feminis itu sendiri.

Sudahnya, Leha menjadi mangsa apabila digambarkan sebagai seorang wanita lanjut usia yang tergolong dalam kategori wanita gatal dan materialistik apabila seolah-olah tiada lelaki lain yang lebih layak untuknya selain Pak Leman yang merupakan seorang yang berkemampuan.

Bukan itu sahaja, pemaparan watak wanita berhijab yang dilakonkan Ayuni Asyiqin juga memiliki kelemahan dan penulis tertanya-tanya mengapa Ayuni sanggup untuk menggadaikan maruah dan imejnya untuk berlakon sedemikian rupa.

Penulis faham jika watak Nora itu adalah dalam kalangan pelakon wanita yang tidak bertudung dan kemudiannya harus bertudung demi tuntutan watak kerana ada beberapa babak terutama antara Nora dan Ujang juga mengundang masalah.

Sharifah Shahira memegang watak sebagai Leha. 

Adakah patut untuk seorang wanita berhijab seperti Ayuni melakonkan babak-babak mesra (walaupun tidak berlebihan) sambil bersentuhan dengan lelaki bukan mahram selain dengan imejnya yang kelihatan canggung pada beberapa ketika (memakai anak tudung dan kanta lekap sewaktu tidur)?

Lebih malang apabila Ayuni seperti merelakan dirinya mengucapkan dialog-dialog berunsurkan lucah (sexual innuendo) dengan babak di tempat terbuka sambil disaksikan oleh peniaga pisang goreng yang penulis merasakan adalah sangat tidak tepat dan tidak sepatutnya berlaku.

Malah, keserasian antara Ayuni dan Tajul juga tidak menyerlah hubungan mereka sebagai suami-isteri kerana gagal menghidupkan watak masing-masing. Sehingga pada suatu ketika penulis melihat watak Nora dan Ujang itu seperti pasangan anak muda yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia percintaan.

Baik Tajul mahupun Ayuni, jika serius mahu menjadi seorang pelakon dan bukan sekadar hobi, carilah masa dan ruang untuk menuntut ilmu dan membentuk diri menjadi seorang pelakon yang bagus.

Namun, apabila memikirkan kontroversi yang pernah diraih Raja Azmi dalam filem-filem terbitannya sebelum ini dengan adanya unsur-unsur lucah, maka, tidak hairanlah ia juga diselitkan dalam filem komedi ringan seperti Enjin No. 9.

Unsur seperti ini juga ada dalam babak sewaktu Pak Leman pergi ke rumah Limah untuk melamarnya dengan skrip dan bahasa tubuh yang penulis rasakan sangat tidak patut dan tidak layak untuk dipaparkan.

Lakonan Ayuni Asyiqin tidak meninggalkan impak.

Ditambah pula dengan watak Limah yang baharu sahaja kematian suami, wanita berusia sepertinya juga tidak dapat lari daripada dilabelkan sebagai wanita gatal dan miang walaupun penulis berpendapat pelakon seperti Fadilah Mansor tidak sewajarnya membawakan watak sedemikian rupa.

Semakin cerita menuju ke babak-babak terakhir, momentum yang gagal dibentuk dari awal itu terus menjadi kendur sehingga gagal mencapai klimaks seperti mana yang seharusnya berlaku.

Kelemahan ketara juga terletak pada sudut teknikal seperti suntingan, sinematografi, adunan serta suntingan bunyi yang telah menyumbang kepada kecacatan visual Enjin No. 9.

Seharusnya sebagai seorang wanita, Raja Azmi sepatutnya lebih bijak menggunakan pengalaman dan pemerhatiannya terhadap masalah sekeliling melibatkan wanita seusianya dan menghasilkan sebuah cerita yang penulis percaya dapat memberi satu perspektif baharu.

Tidak salah pun untuk menghasilkan sebuah filem komedi tetapi biarlah komedi yang berisi dan memberikan nafas baharu terutama dalam representasi wanita dalam filem. 

Ini kerana Enjin No. 9 yang diarahkan oleh seorang wanita bernama Raja Azmi ini tidak memiliki visi yang tajam tetapi sebaliknya hambar dan kacau-bilau.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 (Akifma) kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Raja Azmi, Enjin No. 9

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain