suria

Ada sedikit kelemahan namun sindiran dan sinikal cara Mawi dalam ‘Tiada Tajuk’

Watak Rumi lakonan Joey Daud (dari kiri), Abadi (Hazami) dan Kuswadi (Along Cham) boleh menjadi satu jenama watak yang kuat jika terus dikembangkan dan diperkukuhkan dalam cerita akan datang.

Filem: Tiada Tajuk

Pengarah: Mawi

Pelakon: Joey Daud, Hazama, Along Cham, Mas Lobo, Ropie, Kamarool Haji Yusoff, Mawi, Anas Tahir dan Amira Othman

Genre: Drama/Komedi

Durasi: 100 minit

Pengedar: Empire Film Solution Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 4 April 2019

APABILA bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga (2005), Asmawi Ani atau cukup popular dengan nama pentasnya, Mawi mengorak setapak lagi dalam karier seninya dengan menjadi seorang pengarah filem, penulis melihatnya dari sudut yang positif.

Pertamanya, kehadiran Mawi sedikit sebanyak dapat menyemarakkan lagi kebangkitan pembikin filem baharu yang memiliki misi dan visi tersendiri dalam mempersembahkan karya mereka kepada khalayak.

Along Cham (kiri), Joey Daud dan Hazama dalam salah satu babak filem Tiada Tajuk yang kini sedang ditayangkan.

Meskipun, hanya berpengalaman mengarahkan empat telefilem sahaja (kesemuanya ditayangkan di stesen Astro), tetapi keberanian Mawi untuk mengarahkan filem cereka pertamanya, Tiada Tajuk wajar dipuji.

Pada awalnya, penulis bimbang untuk menonton filem ini yang merupakan kelangsungan daripada telefilem, Rock Sangkut (2014) yang pernah menjadi bualan sewaktu tayangannya.

Ini kerana secara jujurnya, penulis tidak berkesempatan menonton telefilem berkenaan tetapi penulis tahu serba sedikit tentang cerita berkenaan.

Namun, selepas dimaklumkan sendiri oleh Mawi kepada penulis bahawa tidak perlu risau akan perkara tersebut, maka, penulis menontonnya dengan minda serta hati yang terbuka beberapa hari lalu.

Sebagai seorang pembikin filem baharu, penulis melihat Mawi memiliki hala tujunya dan dia tahu apa yang dia mahukan menerusi Tiada Tajuk.

Bukan juga mahu memuji melangit, tetapi penulis meletakkan Mawi sebagai pengkarya yang boleh menyambung legasi pengarah terkenal, Mamat Khalid dalam mengutarakan permasalahan serta naskhah yang cukup dekat dengan budaya Melayu.

Salah satu babak mencuit hati namun penuh sindiran dalam Tiada Tajuk.

Sementelah Mawi sendiri memiliki latar belakang yang cukup kuat jiwa Melayunya, maka, tidak hairanlah Tiada Tajuk dilihat begitu dekat dengan Mawi.

Memiliki roh

Ditambah pula, Tiada Tajuk lahir daripada idea asal tuan punya diri dan kemudiannya diolah bersama dua penulis lain, disebabkan itu, ia memiliki rohnya tersendiri.

Kalau dilihat kepada mata kasar, cerita yang diketengahkan dalam Tiada Tajuk itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Tetapi, pendekatan yang diambil oleh Mawi itu cukup relevan dengan situasi yang berlegar dalam kehidupan masyarakat Melayu ketika ini yang penulis sifatkan semakin membimbangkan.

Tambahan pula, cerita Tiada Tajuk ini diimbangi dengan kisah dunia hiburan tempatan yang penulis cukup yakin ada kaitan dengan pengalaman yang dilalui oleh Mawi sendiri.

Setiap watak dan karakter yang muncul dalam filem ini sememangnya mewakili representasi komuniti orang Melayu yang kita sendiri dapat lihat dalam dunia realiti.

Watak-watak utamanya iaitu Abadi yang dilakonkan oleh Hazama, Rumi (Joey Daud) dan Kuswadi (Along Cham) juga memiliki metafora tersendiri dalam mewakili kelompok anak-anak muda Melayu.

Filem Tiada Tajuk memiliki kelemahannya tetapi ia tidak mengecewakan untuk seorang pengarah filem baharu seperti Mawi.

Jiwa muzik dan diri ketiga-tiga mereka kononnya cukup tebal dengan budaya barat yang jelas sekali dipaparkan menerusi pemakaian dan cara percakapan masing-masing.

Tetapi, dalam masa yang sama, mereka sebenarnya alpa seketika bahawa mereka adalah orang Melayu dan paling utama beragama Islam dalam memikirkan soal rezeki yang telah ditetapkan.

Baik Abadi, mahupun Rumi dan Kuswadi, pada awalnya cukup yakin mampu untuk menjadi artis rakaman dengan muzik rock dan seangkatannya sebagai taruhan dalam memperkenalkan mereka kepada industri.

Tetapi, tanpa disedari bahawa perjalanan mereka menuju kepada kehendak dan kemahuan mereka itu kemudiannya dilencongkan kepada satu arah lain yang sudah ditetapkan oleh Sang Pencipta.

Watak Abadi, Rumi dan Kuswadi itu sudah cukup membuatkan penonton untuk merasai dan menghubungkan setiap situasi dilalui mereka itu dengan pengalaman masing-masing.

Bahkan, watak-watak seperti Suci (Mawi) dan Tohir (Anas Tahir) juga adalah sebagai satu perlambangan bahawa kemunafikan dalam jiwa orang Islam itu tetap ada dalam apa jua keadaan sekalipun.

Penyakit media sosial

Lantaran itu, Tiada Tajuk cuba melihat kepada permasalahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu beragama Islam terutama berhadapan dengan penyakit media sosial hari ini.

Bukan itu sahaja, senario yang mengaitkan dunia hiburan terutama dalam kelompok anak seni dengan perkara syirik itu sendiri jelas menggambarkan bahawa perihal berkenaan sememangnya tidak akan pernah berkesudahan.

Dari satu aspek juga, Tiada Tajuk mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa masalah sosial yang dilalui oleh orang Melayu beragama Islam ini akan sentiasa berlaku meskipun roda masa sentiasa berputar.

Akan tetapi, Tiada Tajuk juga tidak terlepas daripada kelemahan yang penulis boleh kategorikan sebagai boleh dimaafkan memandangkan Mawi masih baharu dalam dunia pengarahan filem cereka.

Namun, Mawi tidak boleh berasa selesa kerana untuk terus menjadi pengarah filem, usaha dan kerja keras itu perlu digandakan termasuklah menimba ilmu menerusi pembacaan serta daripada mereka yang sudah berpengalaman.

Mawi (bertopi) memberikan penerangan kepada para pelakon filem Tiada Tajuk sewaktu di lokasi penggambaran.

Tambahan pula, membikin sebuah filem cereka jauh berbeza dengan penghasilan untuk televisyen kerana filem memiliki nilai-nilai estetika yang perlu dititik beratkan terutama bahasa visual yang dapat memberikan maksud tersurat dan tersiratnya.

Kelemahan Tiada Tajuk lebih terarah kepada aspek suntingan yang kurang kemas dan ini berpunca kepada penulisan lakon layarnya yang tidak diperhalusi sebaiknya.

Disebabkan itu, menonton Tiada Tajuk seperti melihat papan cerita (story board) yang dipersembahkan satu persatu dengan kelompongan yang tidak dipadankan dengan kesinambungan yang tepat.

Dalam konteks ini, ia dapat dilihat selepas pertengahan filem ini berlalu di mana penulis merasakan ia seolah-olah dibikin dengan tergesa-gesa dan hanya sekadar mahu memasukkan cerita yang ada di antaranya tidak perlu.

Sebagai contoh, babak Ustaz Halim (Johan As’ari) yang cuba memulihkan Rumi yang ketika itu dirasuk dilihat seperti tidak kena dan kemudiannya watak Ustaz Halim itu dimatikan sekelip mata sedangkan kemunculannya tiba-tiba sahaja.

Babak sedih sewaktu kematian Pak Imam (Ropie) juga sebenarnya boleh digandakan impaknya jika konflik menuju ke arah babak berkenaan diperkuatkan.

Tidak perlu Amira Othman

Kemunculan penyanyi dan pelakon, Amira Othman yang membawakan watak Cahaya juga sebenarnya tidak perlu kerana tidak meninggalkan sebarang impak kepada keseluruhan jalan cerita Tiada Tajuk.

Tidak ada salahnya pun jika Tiada Tajuk menjadi sebuah filem yang dibintangi kesemuanya adalah pelakon lelaki.

Mas Lobo (kiri) dan Hazama dalam satu babak filem Tiada Tajuk.

Penulis percaya Tiada Tajuk adalah eksperimentasi Mawi untuk menguji sejauh mana penerimaan masyarakat dan penonton filem tempatan terhadap buah tangan sulungnya itu.

Lantaran itu, Tiada Tajuk bukanlah sebuah filem yang boleh dikategorikan sebagai sempurna tetapi dalam masa yang sama tidak juga begitu teruk sehingga langsung tidak boleh diterima akal.

Penulis masih lagi mampu tersenyum dan ketawa meskipun tidaklah terbahak-bahak melihat aksi Abadi, Rumi dan Kuswadi yang penulis lihat berpotensi besar untuk kekal menjadi satu jenama.

Tidak hanya untuk hiburan semata-mata, tetapi Tiada Tajuk juga adalah cara Mawi untuk menyindir dan menjadi sinikal dalam acuan Islamik bagi mereka yang menepati perumpamaan siapa makan cili, dia terasa pedasnya.

Cuma, Mawi perlu berani untuk menongkah arus tetapi masih lagi mengekalkan misi dan visinya sebagai seorang pembikin kerana Tiada Tajuk layak diletakkan sebagai hidangan pembuka selera yang tidak mengecewakan daripada Mawi.

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

 

Artikel Lain