suria

Indahnya jika jiwa filem ini diselami namun ‘kekeliruan cerita’ pamer kelemahan ‘Bu’

Lakonan Remy Ishak dan Nadia Brian menampakkan keserasian walaupun cerita tentang mereka tidak begitu diperhalusi.

Filem: Bu

Pengarah: Jeany Amir

Pelakon: Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Rashidi Ishak, Dian P. Ramlee, Iedil Putra, Mawar Rashid, Wan Hanafi Su dan Nadia Brian.

Genre: Drama

Durasi: 91 minit

Pengedar: mm2 Entertainment Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 11 April 2019

SEPERKARA yang penulis tidak dapat mengelakkan diri daripada membuat penilaian awal tentang filem Bu ialah bagaimana ia cuba mahu menjadi seperti filem Sepi (2008) dan Cinta (2006).

Jangan salahkan penulis kerana apa yang penulis katakan itu ada kebenarannya. Jika sekali imbas menonton gazet filem Bu, kata-kata itu akan terpacul dengan sendirinya tanpa perlu berfikir dua kali.

Meskipun begitu, penulis faham adalah tidak adil untuk terus mengatakan sedemikian seandainya tidak menonton keseluruhan filem tersebut.

Sayang seribu kali sayang apabila filem Bu yang seharusnya dapat mengangkat kisah golongan ibu dan isteri memiliki kelemahan cerita.

Penulis harus akui bahawa tema untuk mengangkat wanita bergelar isteri dan ibu seperti apa yang mahu dipertaruhkan oleh Bu adalah sesuatu yang agak baharu dalam sinema tempatan.

Lebih-lebih lagi apabila ia mengenengahkan tiga cerita yang kemudiannya bertemu pada satu titik fokus untuk melengkapkan plot utamanya, Bu boleh diletakkan sebagai karya yang menarik.

Akan tetapi, acuan tersebut sudah diaplikasikan dalam filem Sepi dan Cinta seperti mana yang penulis katakan di awal artikel ini. Tetapi, itu bukanlah satu masalah kerana ia sama sekali bukanlah satu plagiarism.

Tidak salah pun untuk menggunakan formula yang serupa tetapi lebih mengutamakan kekuatan cerita agar ia menjadi sebuah karya yang boleh dinikmati semaksimum mungkin.

Harapan tinggi

Penulis sebenarnya meletakkan harapan yang agak tinggi untuk melihat Bu menjadi sebuah karya yang hebat dan seterusnya meletakkan ia sebagai salah sebuah karya terbaik untuk 2019.

Justeru, apabila Bu yang turut mempertaruhkan nama-nama besar dalam landskap dunia seni tempatan itu ditayangkan, maka, secara tidak langsung, ia seperti memberi harapan bahawa Bu membawa sebuah naskhah yang mampu dibanggakan.

Tambahan pula, sebahagian besar para pelakonnya juga merupakan bekas calon dan pemenang Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu Wan Hanafi Su, Remy Ishak, Rashidi Ishak, Nadiya Nisaa dan Iedil Putra.

Namun sayangnya perkara itu tidak terjadi kerana Bu tidak berupaya untuk diangkat ke tahap tertinggi dek kerana kelemahan cerita dan lakon layarnya yang kurang memberangsangkan.

Pelakon veteran, Dian P. Ramlee melakonkan watak Norimah dalam filem Bu.

Seperti mana yang penulis sebutkan, tema Bu itu sebenarnya sudah cukup kuat. Sementelah, mutakhir ini persoalan dan isu tentang wanita acap kali dibangkitkan dan meraih perhatian masyarakat.

Justeru, Bu sebenarnya memiliki lesen untuk menjadikan ia sebuah karya yang dapat mengangkat dan memberikan penghormatan untuk kaum ibu dan isteri dalam sebuah karya yang dapat dijadikan inspirasi.

Penulis langsung tidak menafikan bahawa setiap cerita yang ditampilkan menerusi Bu ada kekuatan tersendiri. Tetapi disebabkan kekurangan yang dimiliki oleh tiga cerita ini, ia hanya mampu dinikmati hanya sekadar angin lalu sahaja.

Segalanya kabur tentang mengapa Norimah begitu menginginkan cucu walaupun Diana dan Zack mahu melupakan seketika hasrat tersebut disebabkan perancangan Diana dalam hala tuju kariernya.

SHAZRYN MOHD FAIZAL

PENGULAS FILEM

Sebagai contoh, penulis mengambil cerita seorang isteri dan ibu bernama Aishah (lakonan Nadiya Nisaa) yang berhadapan dengan konflik apabila suaminya, Dr. Norman (Rashidi Ishak) sudah semakin melupakan tanggungjawabnya dan lebih mengutamakan profesionnya berbanding keluarga.

Begitu juga dengan satu-satunya anak mereka, Julie (Tia Sarah) yang menjadikan ibunya umpama hamba dan tidak menghormatinya apabila sering kali memarahi Aishah.

Nadia Nisaa tidak cukup impak

Sebagai bekas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM27 (2015), lakonan Nadiya Nisaa dapat mengundang sedikit rasa simpati penulis yang dapat merasai apa yang dilaluinya sebagai seorang isteri dan ibu.

Tetapi, impak lakonannya tidak mencukupi kerana seharusnya untuk watak berkenaan, tekanan yang dilalui oleh Aishah seharusnya dapat diterokai lagi.

Apakah sebagai isteri, konfliknya dengan suami hanya sekadar bergaduh di dalam kereta kerana Norman tidak mengendahkan kata-kata Aishah yang mahu berkongsi cerita?

Begitu juga hubungannya dengan Julie dan sebagai ibu, apakah Aishah sanggup untuk membiarkan dirinya diperhambakan sedemikian rupa walaupun wataknya itu mahu menjadi seorang penyayang dan disukai ramai?

Rashidi Ishak dan Nadiya Nisaa dalam salah satu babak filem Bu.

Jika diambil watak Aishah itu dan mengambil aspirasi wanita moden hari ini, watak Aishah itu akan menjadi lebih dinamik. Apatah lagi, perkembangan watak Aishah itu sendiri tidak berjalan dengan baik terutama tidak menampakkan kematangan dari awal hingga akhir.

Penulis percaya impak cerita Aishah akan menjadi lebih besar jika perhubungannya dengan seorang pemilik kedai buku terpakai, Johar (Wan Hanafi Su) dikembangkan dan seterusnya membawa kepada konflik antara Norman serta Julie.

Ini kerana penulis melihat keindahan yang tersembunyi antara kisah Aishah dan Johar itu sendiri yang tidak diekploitasi sebaiknya untuk meletakkan ia sebagai sebuah cerita yang mampu diingati.

Masalah yang sama juga berlaku dalam cerita yang melibatkan seorang wanita bernama Nora (Nadia Brian) bersama suaminya, Hafiz (Remy Ishak) apabila mereka diuji berkali-kali dengan keguguran dialami Nora.

Cerita seperti apa yang berlaku dalam kehidupan Nora dan Hafiz sebenarnya adalah satu realiti dalam masyarakat tetapi kelemahan yang berlaku apabila premis cerita tentang Nora itu tidak dipaparkan dengan kemas.

Semuanya hanya sekadar di permukaan dan penulis sendiri tertanya-tanya apa masalah yang berlaku dalam diri Nora sehingga dia berhadapan dengan ujian sebegitu rupa.

Apakah memadai dengan hanya memperlihatkan dia sentiasa cemas, rapuh dan bersedih setiap kali mengandung? Bahasa visualnya tidak cukup jelas untuk memberitahu kepada audiens apa sebenarnya yang dilalui oleh Nora selama berkahwin dengan Hafiz.

Sama seperti cerita Aishah, seharusnya watak Nora harus menjadi satu perlambangan buat wanita yang berhadapan dengan situasi serupa tetapi malangnya, perkara itu tidak berlaku.

Mawar Rashid memegang watak sebagai Diana dalam filem Bu.

Walaupun penulis mengakui juga bahawa lakonan Nadia Brian berada pada tahap membanggakan tetapi itu masih belum memadai untuk membuatkan penulis merasai gejolak hatinya.

Tetapi, ceritanya pula lebih terarah kepada konflik yang dialami oleh Hafiz yang pada hemat penulis, ia seharusnya diseimbangkan agar ceritanya terjalin dengan baik.

Kekeliruan cerita

Bukankah Bu itu merujuk kepada ibu dan isteri? Justeru, cerita itu seharusnya lebih kepada perjalanan hidup Nora menuju fasa menjadi seorang ibu.

Kekeliruan dalam cerita yang melibatkan tiga beranak iaitu Zack (Iedil Putra), Norimah (Dian P. Ramlee) dan Diana (Mawar Rashid) pula mengundang seribu satu pertanyaan penulis sejak awal lagi.

Sudahlah pengenalan dan perkembangan wataknya tidak begitu jelas sehingga membuatkan penulis bertanya sendiri siapakah anak kepada Norimah sebenarnya kerana baik Zack mahupun Diana, tidak menampakkan perbezaan sebagai anak dan menantu.

Sama seperti dua cerita lain, kisah Norimah dan Diana juga tidak dikembangkan dan diterokai dengan baik sedangkan premis ceritanya mampu untuk memberikan sesuatu yang luar biasa.

Segalanya kabur tentang mengapa Norimah begitu menginginkan cucu walaupun Diana dan Zack mahu melupakan seketika hasrat tersebut disebabkan perancangan Diana dalam hala tuju kariernya.

Salah satu babak filem Bu yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Walhal, misteri mula timbul apabila Diana secara tidak sengaja ternampak sebuah bilik yang menempatkan semua barangan bayi yang seharusnya membuatkan Diana memiliki perasaan ingin tahu dan sekali gus memberikan kesedaran kepadanya untuk menjadi seorang ibu.

Tidak cukup hanya dengan penerangan yang diberikan oleh Zack kepadanya kerana ia langsung tidak meninggalkan impak. Sebagai wanita moden, Diana seharusnya memiliki intrig untuk melakukan penyelidikan dan penyiasatan sendiri dan ia boleh dikuatkan dengan bahasa visual yang jelas.

Ditambah pula, kisah karier Diana yang pada awalnya begitu rancak diperkatakan akhirnya terkubur begitu sahaja walau hakikat sebenarnya, ia juga boleh menimbulkan konflik dalaman untuk Diana sendiri lalu memikirkan sesuatu yang positif daripadanya.

Konflik antara Diana dan Zack pula penulis sifatkan sebagai lemah dan terlalu klise sehingga tidak menyumbang kepada impak pengakhiran ceritanya.

Begitu juga dengan watak Norimah yang membuatkan penulis tertanya apakah sumbangannya kepada keseluruhan jalan cerita kerana kehadirannya tidak meninggalkan kesan di hati.

Tidak kesampaian

Seharusnya watak Norimah sebagai ibu itu mampu membuatkan penonton mengalirkan air mata tetapi apa yang dipersembahkan dalam Bu tidak kesampaian walaupun penulis percaya untuk pelakon senior seperti Dian berupaya melakukannya.

Remy Ishak dan Nadia Brian masing-masing memegang watak Hafiz dan Nora dalam filem Bu.

Sebagai pengarah baharu dalam pengarahan filem cereka, Jeany Amir sedaya upaya cuba untuk menzahirkan cerita Bu ke layar perak atas kapasiti beliau sebagai orang baharu.

Walaupun sebelum ini Jeany lebih aktif dalam penerbitan iklan komersial, tetapi apa yang dipersembahkannya dalam Bu bukanlah teruk sehingga tidak dapat ditonton.

Penulis meletakkan harapan untuk Jeany melahirkan karya yang dapat memperkasakan wanita seiring dengan jiwa mudanya dalam merevolusikan cerita-cerita tentang wanita di negara ini.

Realitinya, Bu mampu untuk menjadi karya yang akan dikenang jika ceritanya lebih diperhalusi dan diperindahkan sekali gus dapat menjadi sebuah karya yang dapat menginspirasi wanita dan memberikan penghormatan terbaik buat kaum Hawa khususnya golongan ibu.

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain