suria

‘Fly By Night’ karya terbaik mampu buka mata dan minda

Empat pelakon hebat yang membintangi filem Fly By Night iaitu (dari kiri) Eric Chen, Sunny Pang, Fabian Loo dan Jack Tan.

Filem: Fly By Night

Pengarah: Zahir Omar

Pelakon: Sunny Pang, Fabian Loo, Eric Chen, Bront Palarae, Jack Tan, Frederick Tan, John Tan, Joyce Harn dan Ruby Yap

Genre: Drama

Durasi: 90 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 11 April 2019

SETAKAT suku pertama tahun ini, tidak ada lagi karya tempatan yang benar-benar meninggalkan impak buat penulis.

Apa yang sudah ditonton dan diulas oleh penulis kesemuanya masih belum mampu untuk menempatkan diri dalam senarai karya terbaik untuk 2019.

Namun, penulis masih lagi berharap dan percaya bahawa dalam tempoh lapan bulan sahaja lagi sebelum kita menjengah ke dekad baharu, akan ada karya-karya yang mampu mencengkam jiwa lalu diangkat sebagai terbaik.

Malah, penulis percaya dengan kemenangan One Two Jaga (2018) yang memenangi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) selain lima kategori lain baru-baru ini akan memberi inspirasi kepada karyawan filem tempatan untuk membikin filem dengan pendekatan baharu.

Bront Palarae telah mempersembahkan lakonan yang membanggakan sebagai Inspektor Kamal.

Ditambah pula dengan pemerintahan kerajaan baharu juga akan menyuntik semangat positif untuk para pembikin filem terus memartabatkan sinema tempatan dengan lembaran cerita yang memberikan impak besar.

Sambung legasi

Disebabkan itu jugalah, apabila munculnya filem Fly By Night yang memulakan tayangannya minggu lalu, penulis melihat ia seperti menyambung legasi yang telah dicipta oleh One Two Jaga.

Ini kerana filem cereka pertama arahan Zahir Omar itu sememangnya sebuah karya yang sememangnya layak untuk diletakkan di tangga pertama dalam senarai filem terbaik untuk 2019.

Berkesempatan menonton Fly By Night beberapa hari lalu menerbitkan rasa kepuasan yang maksimum buat penulis kerana karya ini sememangnya serba-serbi menghampiri kesempurnaan.

Kekuatan Fly By Night terletak kepada aspek penceritaan yang mengambil kisah dan latar belakang kehidupan manusia biasa lalu diolah menjadikan ia sebuah karya luar biasa.

Ditunjangi oleh tiga penulis iaitu Frederick Bailey, mendiang Ivan Yeo dan bekas pemenang Pengarah Terbaik FFM dua kali, Dain Said, Fly By Night mengupas kehidupan empat pemandu teksi yang berlainan karakter namun, bersatu hati dalam sindiket yang mereka jalankan.

Penulis menyifatkan cerita Fly By Night cukup kuat dan mencabar kerana keluar daripada acuan konvensional untuk menceritakan kisah dari sudut pandang mereka selaku golongan marhaen.

Sunny Pang (kanan) sebagai Tai Lo dan Eric Chen (Ah Soon) dalam salah satu babak filem Fly By Night.

Acap kali media memaparkan senario kehidupan pemandu teksi di negara ini tetapi tanpa kita sedari bahawa di sebalik apa yang mereka lalui, ada dunia gelap yang dianggap sebagai dunia kedua yang menjadikan mereka raja.

Kegiatan haram

Namun, jangan salah faham dengan apa yang penulis katakan. Secara realitinya, bukan semua pemandu teksi itu menjalankan kegiatan haram demi kelangsungan hidup dalam memastikan kehidupan stabil.

Tetapi, penulis tidak menolak bahawa ada segelintir yang bersikap demikian. Justeru, Fly By Night mahu membawa penonton melihat kehidupan pemandu teksi ini dari segenap aspek.

Tanpa kita sedari sebenarnya, menerusi pekerjaan mereka yang sering kali menjadi perhatian itu, komuniti pemandu teksi ini memiliki akses terbesar kepada setiap penumpang yang mereka bawa.

Sehubungan itu, susun atur cerita yang diketengahkan dalam filem Fly By Night ini telah dilakukan dengan cukup kemas dan teliti untuk penonton mengenali keluarga yang hidup mereka sederhana tetapi mempunyai dunia lain yang tidak diketahui ramai.

Diketuai oleh Tai Lo (lakonan oleh Sunny Pang) bersama adiknya, Sai Lo (Fabian Loo), masing-masing merupakan pemandu teksi tetapi menjalankan sindiket memeras ugut untuk mendapatkan wang berganda-ganda daripada pendapatan mereka.

Sindiket mereka dibantu oleh isteri Sai Lo, Michelle (Ruby Yap), sahabat karib Sai Lo, Gwai Lo (Jack Tan) serta abang angkat mereka, Ah Soon (Eric Chen) yang merupakan bekas banduan dan menjadi orang kanan paling dipercayai oleh mendiang bapa mereka.

Seperti apa yang penulis katakan, cerita ini memang kedengaran biasa sahaja tetapi olahan ceritanya yang berkembang baik dengan mewujudkan subplot menarik menjadikan Fly By Night begitu padat dan mencengkam jiwa.

Meskipun bukan watak utama, tetapi kehadiran Joyce Harn dalam sub plot filem Fly By Night meninggakan impak tersendiri.

Penonton tidak hanya dibawa untuk melihat dan menyelami kisah keluarga Tai Lo tetapi juga konflik yang berlaku antara seorang wanita, Reanne (Joyce Harn) yang berhadapan dengan masalah hubungannya dengan suami orang, Marcus (Shaun Chen).

Ceti haram

Tidak cukup dengan itu, cerita ini diperkuat dengan sub plot seorang ceti haram, Jared (Frederick Lee) yang turut menjalankan perniagaan kelab malam yang turut menyumbang kepada konflik yang dilalui oleh Tai Lo dan keluarganya.

Dalam masa yang sama, kekacauan mula timbul apabila Inspektor Kamal (Bront Palarae) memasuki ke dalam cerita mereka sehingga membuatkan segala-galanya menjadi kucar-kacir.

Kesemuanya disatukan dengan kemudian membawa kepada satu titik tumpu dan kemudiannya berakhir yang pada hemat penulis cukup dahsyat.

Olahan cerita dan keberkesanan lakon layar itu juga telah mendorong hasil kerja pengarahan Zahir Omar yang sebelum ini mengarahkan iklan komersial dan filem pendek ini bergerak pada paksi dan tempo yang tepat.

Sebagai orang baharu dalam pengarahan filem cereka, Zahir membuktikan bahawa dia memiliki visi dan misi untuk membawanya jauh dalam bidang ini sekali gus dia tidak seharusnya dipandang enteng.

Kekuatan Fly By Night tidak hanya terletak kepada aspek pengarahan dan cerita tetapi dibantu dengan teknik suntingan yang kemas dan menampakkan aliran cerita itu bergerak dalam logika yang tepat.

Fabian Loo (kiri) dan Jack Tan dalam satu babak filem Fly By Night.

Bukan seorang tetapi dua orang penyunting, Dom Heng dan Ajay Kumar telah melakukan kerja mereka dengan baik lalu membuatkan mereka antara yang wajar diberikan perhatian dalam FFM akan datang untuk kategori Suntingan Terbaik.

Ternyata Fly By Night juga telah banyak dibantu dengan aspek sinematografi yang penulis sifatkan seperti menonton filem antarabangsa lalu membuktikan bahawa karyawan seni tempatan sebenarnya memiliki kepakaran tersendiri untuk memperindahkan sesebuah karya itu.

Hasil kerja yang ditonjolkan oleh pengarah fotografi senior yang juga bekas pemenang Sinematografi Terbaik FFM13 (1997) menerusi filem Layar Lara, Low Soon Keong sememangnya berada dalam kelas pertama.

Sebagai individu yang sebelum ini terlibat dalam kesemua filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Soon Keong memperlihatkan kehebatannya dalam mempersembahkan warna cerita ini seiring dengan senario dan momen yang ditonjolkan.

Warna kelam antara campuran hijau dan kuning pada babak Tai Lo dan adik-beradiknya berkumpul dan bermesyuarat selepas diserang Jared misalnya, menggambarkan konflik serta emosi yang dilalui oleh mereka ketika itu.

Dalam dunia Jared pula, warna merah mendominasi keseluruhan babak tersebut bagi menggambarkan kekuasaan dan prinsip Jared sebagai seorang ceti haram dan perniagaannya.

Babak akhir filem Fly By Night yang mencemaskan dan mendebarkan.

Berbeza dengan warna yang lebih suram ditonjolkan dalam konflik Reanne dan Marcus untuk menimbulkan mood serta bahasa visualnya yang sudah cukup untuk menceritakan permasalahan yang dihadapi.

Satu yang pasti, Fly By Night juga tidak akan hidup jika keampuhan persembahan para pelakonnya tidak berada dalam skala Gred A.

Lakonan berkesan

Bukan memuji kosong tetapi, kesemua pelakon yang terlibat dalam filem ini telah memberikan keberkesanan lakonan yang cukup menyakinkan walaupun sekadar watak pembantu sahaja.

Tiada sesiapa pun cuba hendak membayangi sesiapa kerana setiap watak tahu untuk menonjolkan diri masing-masing pada momen-momen yang membenarkan mereka berbuat demikian.

Permainan warna yang bijak berjaya menterjemahkan kehidupan dan personaliti ceti haram bernama Jared lakonan Frederick Lee.

Sebagai contoh, Eric Chen di awalnya penulis merasakan wataknya tidak mampu memberikan sebarang impak tetapi semakin cerita bergerak dan wataknya itu dikembangkan, personalitinya bertukar.

Begitu juga dengan model kacak, Fabian Loo yang walaupun masih baharu dalam dunia lakonan, tetapi sebagai Sai Lo, dia membawakannya dengan penuh relaks tetapi memiliki karisma tersendiri.

Secara harafiah, Fly By Night hanyalah suara kecil yang mewakili rakyat marhaen dalam berhadapan dengan kehidupan yang semakin hari semakin mencabar dan bagaimana mereka mencari jalan untuk menyempurnakan hidup mereka.

Tetapi di sebalik itu, secara tersiratnya, Fly By Night tanpa ragu mewakili suara hati manusia yang tidak pernah hilang dorongan hawa nafsu mereka selagi bernyawa yang pengakhirannya membawa kepada kemusnahan.

Bukankah ada pepatah lama mengatakan bahawa wang adalah akar kepada segala kejahatan?

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

 

Artikel Lain