suria

Bukan sekadar komedi romantik, 'Gadis Jolobu The Movie' angkat keunikan adat pepatih dan budaya Minangkabau

Barisan Pelakon Gadis Jolobu The Movie yang akan mula ditayangkan pada 4 Ogos 2022.

FILEM bergenre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor bukan sahaja mengetengahkan dialek Negeri Sembilan, malah, mengangkat keunikan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau sebagai tarikan.

Projek mega dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus ketika bertemu dengan Hattan pada 2019.

“Ia susulan sambutan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu meraih tontonan hampir 10 juta menerusi laman YouTube.

“Sebagai legenda rock, Hattan tidak pernah memegang watak hero sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya.

Barisan Pelakon 2

Barisan pelakon ketika sidang media selepas majlis pra-tonton filem berkenaan.

Kata Saraleana lagi, pihaknya juga berbincang dengan Hattan untuk menghasilkan filem yang mempunyai elemen muzikal dan banyak lagu seperti zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan filem Bujang Lapok dulu.

“Bukan senang menampilkan filem genre komedi yang ada sentuhan klasik, tetapi pengarah berpengalaman seperti CL Hor berjaya merealisasikannya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Jolobu The Movie perlihat sisi komedi Hattan, tapi kekal lantang di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka penerbit ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan’ bukan orang filem, 30 tahun tak jejak panggung wayang

Mengulas penampilan Ahirine, kata Saraleana, sebagai penerbit visinya untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri seni.

“Pengarah, CL Hor sendiri memilih Ahirine menerusi proses uji bakat. Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun gadis dibesarkan di bandar.

“Saya berpuas hati dengan hasil lakonan Ahirine sebagai muka baru dalam industri seni,” katanya.

Beralih cabaran sebagai penerbit, Saraleana berkata, dia perlu menyelesaikan penggambaran filem berkenaan dalam tempoh 14 hari ditetapkan.

Barisan Pelakon 3

Gadis Jolobu The Movie mengangkat genre komedi romantik.

“Penggambaran filem membabitkan lokasi sawah padi di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan pada Mac lalu.

“Saya turun padang dalam keadaan cuaca panas untuk memastikan filem ini selesai penggambaran dalam tempoh ditetapkan.

“Saya bersyukur Golden Screen Cinemas (GSC) memberi sokongan pada pembikinan filem dan memilih tarikh tayangannya pada 4 Ogos ini,” katanya.

Menyentuh soal kutipan filem, Saraleana berkata, dia tidak mensasarkan kutipan pecah panggung di pawagam tempatan.

“Kami terbit filem ini untuk pasaran Malaysia dan peringkat global. Selepas selesai tayangan di pawagam tempatan pada Ogos, filem ini akan di bawa ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.

“Kami juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu The Movie sekitar Negeri Sembilan pada September depan,” katanya.

Filem Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara pada 4 Ogos ini, manakala platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY tidak lama lagi.

Menerusi filem ini, Hattan membawa watak Atan, Joey Daud (Ajoi), Khir Rahman (Acong) dan Ahirine (Jijah).

Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain