suria

Babak dengan Dr Mahathir benar, PM puas hati penceritaan dalam Anwar The Untold Story

Anwar menghadiri tayangan perdana filem Anwar, The Untold Story. Foto - MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keseluruhan dialog dan penceritaan filem Anwar, The Untold Story tidak 100 peratus sama namun isu dibangkitkan adalah tepat.

Menyedari bukan mudah merumuskan kejadian menimpanya lebih 20 tahun lalu dalam sebuah filem namun Anwar, 73, berasa terharu kerana kisahnya diangkat untuk tontonan umum.

"Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya dan Azizah tersentuh. Kisah tentang buah pala (salah satu babak dalam filem) memang betul dan bukan direka-reka.

"Dialog itu walaupun tidak 100 peratus sama tapi isu-isu yang dibangkitkan dalam filem ini adalah benar.

ANWAR2 - 1

Sekitar sidang media filem Anwar, The Untold Story.

"Peristiwa puluhan tahun tidak mungkin dapat disingkatkan dalam satu jam," katanya kepada pemberita.

Anwar berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media tayangan perdana filem Anwar, The Untold Story yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Anwar turut memuji hasil karya sutradara dari Indonesia, Viva Westi itu yang disifatkan pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama 23 tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar hadir tayangan perdana filem 'Anwar, The Untold Story'... Laungan reformasi gamatkan pawagam

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza ambil masa sejam rakam OST 'Anwar', masuk studio ketika terkesan Covid-19 berpanjangan

Dalam pada itu, Perdana Menteri kesepuluh Malaysia itu juga tidak menafikan babak yang berlaku antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipaparkan menerusi filem ini juga adalah benar.

"Perbualan itu panjang tetapi ia dirumuskan dengan tepat. Kalau dirumuskan mana boleh 100 peratus sama.

"Tapi konteks yang dibawa adalah benar dan segala tawaran yang diberikan juga adalah benar," jawabnya ringkas.

Tambah Anwar lagi, beliau memberikan kebebasan untuk penggiat seni berkarya tanpa memikirkan tentang isu politik yang dibangkitkan.

Kata Anwar, filem ini dijalankan sebelum beliau bergelar Perdana Menteri dan proses temu bual bersama individu terkait juga tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.

"Filem ini dijalankan sebelum saya menjadi Perdana Menteri. Ada beberapa individu tidak ditemu bual kerana terlalu berisiko untuk mereka. Kuasa pemerintah mungkin tidak menyukainya.

"Namun saya memberitahu Finas mereka mempunyai kebebasan bukan hanya bercakap soal Anwar tetapi sesiapa sahaja.

ANWAR1 - 1

Ketibaan Anwar disambut meriah oleh penonton.

"Sama ada ia memberikan impak kepada dunia politik itu bukan isu utama. Pokoknya, cerita ini perlu diberitahu," ujarnya.

Sementara itu, isteri beliau iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut hadir sewaktu tayangan perdana filem Anwar, The Untold Story memberitahu naskhah ini sedikit sebanyak dapat menepis persepsi masyarakat yang melabel Anwar sebagai seorang penjenayah.

"Filem ini memberikan sedikit gambaran bagaimana perjalanan kami daripada dulu.

"Ini juga untuk menangkis apa yang persepsi dahulu seperti kita sering memaparkan bahawa Anwar seorang penjenayah dan banduan yang tidak mempunyai moral.

farid2 - 1

Farid Kamil antara teraju utama Anwar, The Untold Story.

"Ini yang saya rasa satu tujuan yang kita nak capaikan," katanya.

Anwar, The Untold Story mengisahkan tentang jatuh bangun perjuangan Anwar dalam dunia politik terutama melawan rasuah.

Filem yang diusahakan pembikinannya sejak Ogos 2021 ini mengambil latar masa sekitar tahun 1993 sehingga September 1998.

Selain Malaysia, filem yang dibintangi oleh Farid Kamil, Acha Septriasa dan Hasnol Rahmat itu juga bakal ditayangkan di beberapa negara termasuk Brunei dan Singapura.

Anwar, The Untold Story bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 18 Mei ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain