FILEM yang dinanti-nanti oleh seluruh rakyat Malaysia yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Anwar The Untold Story akhirnya mula menemui penonton bermula 18 Mei 2023 (hari ini). Filem yang berlatarbelakangkan tahun 1993 hingga 1998 itu mendedahkan kisah Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang berjuang secara konsisten menentang amalan rasuah sehingga mengakibatkan beliau disumbat ke dalam penjara. Anwar yang sempat menonton sendiri filem tersebut pada tayangan perdananya baru-baru ini menyifatkan sutradara dari Indonesia iaitu Viva Westi seorang yang pintar dan hebat kerana mampu menterjemahkan penceritaan 23 tahun kepada sebuah karya berdurasi 90 minit. Tidak hanya itu, Anwar berkata, Viva berjaya memasukkan semua sejarah penting yang berlaku pada zaman itu dengan baik sekali gus memberi pemahaman lebih mudah kepada penonton terutamanya dalam generasi muda. Anwar pada sidang media filem Anwar, The Untold Story. Lebih mengagumkan kata Anwar, babak di antaranya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dihasilkan dengan cermat selain perbualan yang panjang di antara mereka dirumuskan dengan tepat dan berhati-hati. "Perbualan yang panjang tetapi ia dirumuskan dengan tepat, kalau dipendekkan mana boleh 100 peratus sama. "Tapi konteks yang dibawa adalah benar dan segala tawaran diberikan juga adalah benar," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Babak dengan Dr Mahathir benar, PM puas hati penceritaan dalam Anwar, The Untold Story ARTIKEL BERKAITAN: Anwar hadir tayangan perdana filem 'Anwar, The Untold Story'... Laungan reformasi gamatkan pawagam Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan terus membanteras gejala rasuah di Malaysia seperti mana dipaparkan dalam filem tersebut. Kata Anwar, beliau terharu kerana dapat mengimbau kembali episod penting dalam hidupnya serta memuji kebolehan pelakon terutamanya Farid Kamil yang berjaya membawa wataknya dengan cemerlang. "Ini cerita yang mesti diceritakan, perjuangan menentang rasuah perlu diteruskan. Sekarang saya menjadi Perdana Menteri, saya mahu menyelamatkan negara ini dan memerangi rasuah dan perangi ia bersungguh-sungguh," katanya. Selain Farid, Anwar The Untold Story turut membariskan pelakon hebat Indonesia Acha Septriasa yang memainkan watak sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Farid Kamil antara teraju utama dalam Anwar, The Untold Story. Sementara itu, pengasas dan pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, sebagai pengedar rasmi filem tersebut menggalakkan orang ramai menonton naskhah itu bagi merasai perjuangan dilalui Anwar yang mungkin tidak diketahui ramai. Kata Yusoff, menerusi filem ini penonton dapat menyaksikan sekilas perjalanan dan perubahan politik paling luar biasa dalam sejarah Asia Tenggara moden. "Kami berharap semua terutama golongan belia menyokong dan menonton filem ini untuk mengetahui perjunangan sebenar Perdana Menteri kita. "Filem ini menunjukkan kepentingan membasmi rasuah di negara ini," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!