FILEM Polis Evo 3 berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM3.4 juta pada hari pertama pembukaan pada Khamis serta tayangan awal. Menerusi kenyataan media kepada mStar, Polis Evo 3 berjaya menewaskan filem antarabangsa iaitu Fast X dengan kutipan melebihi dua kali ganda, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam tempatan. Menurut Penerbit Eksekutif Polis Evo merangkap Naib Presiden Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya berbesar hati kerana penonton masih lagi memilih untuk menonton filem tempatan di pawagam. Filem tempatan masih lagi mendapat tempat di hati penonton. Malah, dia turut mengucapkan terima kasih kepada penonton yang memberikan sokongan luar biasa terhadap filem ini. "Syukur Alhamdulillah, sokongan penoton amat luar biasa. Kami rasa amat berbesar hati apabila penonton memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan. ARTIKEL BERKAITAN: Shaheizy Sam belanja 'six pack' dalam Polis Evo 3, Syatilla pun suka sebab jarang tengok ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad tahan sakit gigi, bedah hidung selepas selesai penggambaran 'Polis Evo 3' - "Ia memori terindah" "Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyaksikan Polis Evo 3 di pawagam. "Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan filem berkenaan," katanya. Dalam pada itu, filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini juga turut tular di media sosial pada hari pertama tayangan dan rata-rata peminat berkongsi reaksi positif. "Masih lagi ada evo, tapi bukan aksi kereta. Kali ini aksi yang luar biasa dari Sam, Zizan dan Sharnaaz. "Polis Evo 3 sumpah best. Penat balik kerja pun langsung tak mengantuk dalam pawagam," tulis netizen. Sebelum ini, siri pertama Polis Evo yang ditayangkan pada tahun 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta. Polis Evo 2 (2018) pula berjaya mencapai kutipan RM23 juta. Polis Evo 3 kembali dengan misi terbaharu yang bakal menghiburkan penonton. Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof ini mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!