PELAKON dan penyanyi Marsha Milan bersedia untuk membawa pelbagai watak lakonan termasuklah mempamerkan wajah hodoh dalam karya seram. Kata Marsha atau Marsha Milan London, 39, rupa paras sesuatu karakter yang dibawa dalam filem atau drama bukanlah kriteria utama dalam mencapai kepuasan sebagai seorang pelakon. Justeru itu, dia terbuka untuk menerima watak sama selepas tampil sebagai hantu dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Rahsia. Marsha menghidupkan watak Melor dalam Rahsia. "Saya percaya lakonan seseorang itu tidak hanya bergantung kepada penampilan wajah sahaja. Berlakon dengan tidak nampak muka sebenarnya boleh beri kepuasan. "Dalam lakonan kita tidak hanya menjual wajah. Bagi saya kepuasan dalam berlakon adalah apabila dapat memberi watak yang pelbagai. "Jadi saya tidak ada masalah untuk menerima watak hantu di masa akan datang kerana ia sesuatu yang menarik," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya juga berhak beri komen” - Nabila Huda tiada niat persenda Masya Masyitah ARTIKEL BERKAITAN: Reboot ‘Rahsia’ dapat sentuhan anak Othman Hafsham, temui penonton 10 Ogos Marsha berkata demikian ditemui ketika majlis tayangan perdana filem tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Bercerita tentang watak Melor dalam karya arahan Shamyl Othman, Marsha memberitahu dia melakukan sendiri hampir semua babak termasuklah aksi tergantung di dinding. Malah dia tiada masalah untuk mempamerkan aksi melentur badan dalam filem itu kerana sudah terbiasa melakukannya ketika senaman yoga. Saya percaya lakonan seseorang itu tidak hanya bergantung kepada penampilan wajah sahaja MARSHA MILAN PELAKON/PENYANYI "Saya sendiri yang hantar gambar cadangan kepada pengarah untuk pergerakan sebagai watak hantu. Saya juga perlu pastikan setiap pergerakan itu tidak memudaratkan. "Iya, hampir 90 peratus babak hantu itu saya lakonkan sendiri termasuk tergantung di dinding dan merangkak keluar dari bawah almari," ujarnya. Dalam pada itu, aktres ini mengakui gementar bergandingan bersama sahabatnya iaitu Nabila Huda yang membawakan watak Ramlah. Barisan pelakon Rahsia. "Risau juga berlakon dengan dia (Nabila). Hari pertama dah babak berat. Saya ada rasa ragu dalam diri... adakah cukup bagus untuk berlakon dengan dia? "Ketika di lokasi, dia juga tidak bertegur kerana cuba mahu kekal dalam mode watak tersebut," jelasnya. Selain Marsha dan Nabila, filem ini turut menampilkan Fikry Ibrahim serta Eman Manan sebagai watak utama. Filem Rahsia bakal ditayangkan di pawagam bermula 10 Ogos ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!