suria

Pilih pelakon ada ilmu silat... ‘Walid’ sarat elemen seni pertahan diri, ketengah isu penculikan kanak-kanak

Walid mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 14 September ini.

BUKAN sekadar mengetengahkan elemen silat, filem terbaharu arahan Areel Abu Bakar berjudul Walid juga mengangkat tentang isu penculikan kanak-kanak di dalamnya.

Areel berkata Walid juga menggambarkan isu penting perdagangan manusia di mana kanak-kanak digunakan untuk menjadi komoditio dalam pasaran hitam global.

“Untuk filem terbaharu ini, saya masih lagi mengangkat seni silat sebagai elemen aksi kerana secara peribadi saya memang meminati ilmu seni mempertahankan diri ini.

“Pada saya filem adalah salah satu medium untuk mempromosikan tentang sesuatu perkara dan sebab itu saya jadikan filem Walid ini sebagai medium menarik lebih ramai terutama sekali anak-anak muda mempelajari silat,” katanya.

WALID  TEACHING AISHA

Walid ketengahkan isu penting perdagangan manusia.

Lebih istimewanya Walid ini apabila ia turut turut mengangkat isu kemanusiaan dan kenegaraan dengan menerapkan silat yang merupakan warisan budaya sebagai ‘ramuan’ utama.

Katanya, Walid turut menyorot pentingnya pendidikan kerana sesetengah ahli masyarkat ditolak haknya untuk mencari pengetahuan.

Walid juga menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi.

Berkongsi tentang keistimewaan setiap pelakon, Areel memberitahu rata-ratanya mempunyai asas dalam mempertahankan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas pukau penonton di Amerika Syarikat, ‘Walid’ masuk panggung Malaysia 14 September

ARTIKEL BERKAITAN: Filem ‘Walid’ masuk panggung Amerika, pengarah anggap kejayaan luar biasa

“Untuk filem Walid, saya memang memilih pelakon yang ada ilmu silat kerana ia bergantung kepada keperluan skrip memandangkan ia adalah sebuah filem aksi.

“Boleh dikatakan 99 peratus pelakon yang terlibat dalam aksi pertarungan adalah pesilat sebenar dan itu yang menjadi kelebihan kepada filem Walid untuk menarik minat penonton,” ujarnya.

Dalam pada itu Areel juga berharap penonton di Malaysia dapat menerima karya terbaharunya itu sama seperti filem arahanya sebelum ini.

Katanya tayangkan di Amerika Syarikat sejak 28 Julai lalu berjaya menarik minat orang luar ingin mengetahui lebih lagi tentang seni mempertahankan diri silat.

WALID VS DERIS

Aksi silat dalam Walid tarik minat penonton di Amerika Syarikat.

"Selain terhibur dengan cerita yang dipaparkan, saya juga harap penonton dapat melihat sisi lain kepada naskah ini terutama sekali dalam mengangkat warisan seni budaya kita sendiri sehingga ke luar negara.

“Malah, ia juga dibuktikan apabila filem Walid ini juga sudah ditayangkan di negara seperti Amerika Syarikat dan menunjukkan seni mempertahankan diri silat ini mampu menarik perhatian pihak luar,” jelasnya.

Filem ini akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 14 September ini.

Sebelum itu, Walid juga telah ditayangkan di Amerika Syarikat iaitu Cine Village, New York pada 28 Julai hingga 3 Ogos serta Leammle Glendale, Los Angeles pada 11 Ogos hingga 17 Ogos lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain