SEPANG: Atlet angkat berat negara Zulkifli Che Rose mahu membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh jurulatihnya Zakaria Yusof dengan membawa pulang pingat dari Sukan Komanwel yang akan berlangsung di New Delhi dari 3 hingga 14 Oktober ini."Saya berharap agar dapat membawa pulang sebarang pingat memandangkan ini merupakan penampilan pertama saya di Sukan Komanwel," katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke New Delhi, Selasa. Pemenang pingat perak dalam acara bawah 77kg di temasya Sukan Sea Laos tahun lepas itu berkata beliau AKAN berdepan tentangan hebat dari atlet India, Australia dan Nauru."Ketiga-tiga negara ini melahirkan banyak jaguh angkat berat sejak kebelakangan ini," katanya yang baru pulang dari latihan intensif sebulan di China pada 22 September lepas.Zulkifli dari Pahang berharap latihan intensif itu dapat membantu ketika perlawanan di Sukan Komenwel nanti.Antara atlet yang turut bersama Zulkifli menjalani latihan di China ialah Amirul Hamizan Ibrahim dan Mohd Shafiq Ismail bagi kategori bawah 56kg, Naharudin Mahayudin dan Aricco Jumitih (bawah 62kg), Mohd Faerul Talib dan Mohd Hafifi Mansor (bawah 69kg), Mohd Zafril Zulkifli (lebih 105kg), Zaira Zakaria (bawah 48kg) dan Raihan Yusoff (bawah 53kg). - BERNAMA