MELBOURNE: Ketua jurulatih basikal negara, John Beasley meletakkan sandaran utama terhadap pelumba 1 kilometer ujian masa, Rizal Tisin untuk menghadirkan satu pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan membuka tirainya 3 Oktober ini.Kata-kata optimis itu dilontarkan Beasley ketika ditemui media selepas sesi latihan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Joe Ciavola yang letak di Pusat Sukan Antarabangsa, Darebin di sini, Selasa. Menurut Beasley, Rizal berpeluang cerah untuk merangkul pingat emas berdasarkan rekod terpantas 1 minit 01 saat yang dicatatkannya ketika meraih pingat gangsa pada Kejuaraan Dunia di Poland, Mac tahun lalu.Rekod itu sekali gus mengatasi catatan yang dilakukan pesaingnya dalam temasya ini.Rizal yang diangkat sebagai pelumba bertaraf dunia kini dilihat berada pada tahap terbaik untuk menggengam sebutir pingat emas selepas pulih daripada kecederaan akibat kemalangan pada tahun lalu."Kami memasuki latihan fasa akhir yang keras sebelum pelumba berlepas ke New Delhi, Jumaat ini. Kali ini, kami memutuskan untuk tidak menghantar pelumba menyertai Siri Grand Prix di Eropah dan mencuba sesuatu yang baru," katanya.Beasley turut menekankan satu teknik latihan baru iaitu meletakkan Rizal dan Azizulhasni Awang di dalam bilik beraltitude tinggi dengan suhu mencecah 3000 meter yang perlu dilakukan selama dua hari seminggu.Latihan skuad berbasikal trek negara turut berbeza berbanding kebiasaannya apabila empat sesi seminggu di gimnasium dilanjutkan kepada enam sesi manakala latihan di trek dan lebuh raya masing-masing dilakukan selama empat hari.Sementara itu, Beasley mengakui Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Rocket Pocketman, berdepan kesukaran untuk menghadirkan pingat emas dalam acara pecut 200 meter kerana mendapat tentangan hebat dari pelumba Australia, Shane Perkins."Namun saya optimis dia mampu menghadiahkan sebarang pingat dalam acara pecut berpasukan, pecut individu dan 1 kilometer ujian masa," jelasnya.