suria

Devydenko Sedia Pertahan Kejuaraan

KUALA LUMPUR: Walaupun bakal berhadapan dengan cabaran sengit di samping baru pulih daripada kecederaan, juara Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia tahun lepas Nikolay Davydenko sudah bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraannya kali ini.

Pemain berumur 22 tahun dari Rusia yang baru pulih daripada kecederaan di pergelangan tangan itu berkata kejohanan tersebut semakin bertambah mencabar tahun ini dengan penyertaan ramai pemain handal dunia.

"Sesiapa jua boleh melangkah ke peringkat akhir, dan bagi saya sudah tentu saya ingin mempertahankan kejuaraan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Selasa.

Davydenko menewaskan Fernando Verdasco dari Sepanyol untuk memenangi kejuaraan sulung kejohanan itu tahun lepas.

Bagaimanapun juara lima kali kejohanan ATP itu menyuarakan rasa ragu-ragu dengan tahap kecergasannya tahun ini.

"Saya ingin katakan di sini yang saya benar-benar cergas, tapi saya tidak bermain selama tiga bulan sebelum ini, dan persembahan saya dalam Terbuka US baru-baru ini kurang menyerlah, tapi saya akan bermain dalam sebanyak kejohanan yang mungkin, supaya prestasi saya bertambah baik," kata pemain kelahiran Ukraine itu.

Davydenko berkata beliau amat selesa dalam penyertaannya di kejohanan ini tahun lepas, dan beliau memang berhasrat untuk kembali beraksi di Malaysia sekali lagi disebabkan penganjuran kejohanan yang lancar dan persekitaran yang hebat.

Beliau akan berhadapan dengan rakan senegaranya yang merupakan pemain bukan pilihan Igor Andreev dalam undian utama pusingan kedua perseorangan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain