suria

Atlet Malaysia Perlukan Suntikan Akhir Capai Sasaran Pingat

NEW DELHI: Dengan hanya mengutip satu pingat emas menjelang hari penutup Sukan Komanwel 2010, Malaysia perlu bekerja keras untuk mencapai sasaran 10 pingat emas pada Khamis.

Hanya Bibiana Ng Pei Chin yang merangkul pingat emas dalam acara 10m Air Pistol Perseorangan Wanita dan kemudian Datuk Nicol David dan Ong Beng Hee menambah pingat gangsa dalam acara skuasy beregu campuran.

Bryan Nickson Lomas sekali lagi mendapat pingat gangsa dalam acara 10m platform lelaki dan diikuti kemudian oleh Elaine Koon menambah koleksi gangsa negara selepas memenangi acara gimnastik berirama.

Pada hari ke-10, Malaysia mengutip lapan pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa.

Sukan Komanwel kali ini, ternyata amat mengecewakan bagi pasukan boling padang yang mensasarkan untuk mengutip sekurang-kurangnya empat pingat emas di Delhi, berakhir tanpa sebarang pungutan pingat.

Juara bertahan Siti Zalina Ahmad gagal mempertahankan gelarannya dalam acara boling padang perseorangan wanita bahkan gagal dalam persaingan untuk merebut pingat gangsa.

Malaysia kini berada di kedudukan kelapan dalam carta pungutan pingat manakala juara bertahan Australia menguasai tempat pertama jumlah kutipan pingat (72 emas), sementara tuan rumah India (36) jatuh di tempat ketiga pada Rabu selepas England menduduki tempat kedua (37).

Pada hari terakhir hari ini, pemain badminton negara yang popular di kalangan media dan peminat badminton India, dijangka menarik perhatian ramai dan perlu mempamerkan sentuhan emas bagi memastikan sasaran Malaysia menggondol 10 pingat emas dicapai.

Mereka akan bertarung untuk pingat emas dalam acara lelaki dan wanita individu akhir, beregu lelaki dan beregu campuran.

Sebanyak 18 pingat emas ditawarkan pada hari terakhir temasya itu dan ia merupakan usaha terakhir bagi atlet Malaysia mempamerkan aksi terbaik mereka apabila edisi ke-19 Sukan Komanwel melabuhkan tirainya.

Hari ini, perhatian akan ditumpukan dalam acara perlumbaan maraton lelaki dan wanita pada sebelah pagi, badminton dan kemudian peringkat akhir hoki lelaki di mana tuan rumah India berdepan dengan juara dunia, Australia.

Menjelang berakhirnya sukan itu, tumpuan sudah pasti terarah pada majlis penutup dan Delhi akan sekali lagi bertukar menjadi bandar kubu, dikawal oleh ribuan anggota keselamatan, untuk menghalang sebarang kemungkinan selepas melalui hari-hari yang aman.

Aspek keselamatan ditingkatkan terutama di Stadium Jawaharlal Nehru, tempat berlangsungnya majlis penutup, dengan hampir 4,000 anggota polis ditugaskan berkawal di situ.

Tetapi pihak penganjur terus membisu berhubung atur cara pada majlis penutup itu dan enggan mendedahkan butirannya demi aspek keselamatan.

Perdana Menteri Manmohan Singh dan jemputan khas Presiden Sri Lanka, Mahendra Rajapakse dijangka menghadiri majlis itu, satu igauan buruk bagi penganjur bagi memastikan kawalan keselamatan terhadap kedua-dua pemimpin itu terjamin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain