ALOR SETAR: Kedah mahu menebus kehampaan mereka yang tewas pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja tahun lepas dengan memenangi kejuaraan itu tahun ini setelah sekali lagi layak ke perlawanan akhir, kali ini menentang Kelantan.Ketua pasukan Shafizan Hashim berkata mereka akan melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan akhir itu yang akan berlangsung pada Sabtu di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Baharu setelah gagal melakukannya tahun lepas setelah tunduk kepada Perlis. "Walaupun tahun lepas kita kalah, tidak bermakna kita kecundang. Tahun ini semangat kita lebih tinggi untuk menjulang piala tersebut," katanya ketika ditemui di sini.Seorang lagi pemain Wan Asyraf Wan Ali berkata beliau berharap agar Kedah dapat membawa balik Piala Emas Raja-Raja."Kita mahu hadiahkan kemenangan itu kepada peminat bola sepak Kedah yang tidak jemu-jemu menyokong kita," katanya.Pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman tahun lepas, Perlis muncul juara setelah mengalahkan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir.Pengurus Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah Muhamad Shakri Mat walaupun bermain di gelanggang lawan tetapi semangat yang ada pada setiap pemain Kedah amatlah tinggi."Kita jangkakan perlawanan malam Sabtu sengit kerana kita tahu Kelantan mempunyai pemain-pemain muda yang berbakat. Mereka juga baru sahaja memenangi Piala Malaysia baru-baru ini, jadi sudah tentu mereka mempunyai keyakinan yang cukup untuk perlawanan esok," katanya. - BERNAMA