KUANTAN: Penyokong Malaysia diminta memberi sokongan padu dan tidak mengeji pasukan negara pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad."Soal menang bukan saya sahaja berharap, malah semua (rakyat Malaysia) mahukan kemenangan malam esok. Tetapi saya harap penyokong Malaysia berilah sokongan padu dan jangan 'boo' pemain-pemain kita," titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini, Sabtu. Baginda yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertitah penyokong pasukan negara perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan sendiri dalam sebarang keadaan sekalipun.Baginda turut mengingatkan pemain skuad negara agar tidak terlalu mengambil kira masalah kecederaan pasukan lawan, sebaliknya perlu mempamerkan corak permainan kemas untuk mencipta jaringan sebanyak yang boleh.Ditanya mengenai persiapan dari aspek keselamatan perlawanan itu, Tengku Abdullah bertitah ia tidak perlu dirisaukan kerana Polis Diraja Malaysia akan menempatkan sejumlah anggota di stadium bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.Baginda turut bertitah walaupun kesihatan baginda masih belum pulih sepenuhnya akibat masalah tekanan darah tinggi yang baginda alami baru-baru ini, baginda akan turut bersama-sama penyokong bagi memberikan sokongan kepada skuad negara.Baginda bertitah, baginda masih menerima rawatan dan dinasihatkan agar tidak bermain sebarang sukan dalam tempoh dua minggu lagi."Makan pun dah selera sikit, kita doa esok menang, mungkin tekanan darah akan turun," titah baginda.Baginda dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 17 Dis lepas sebelum dibenarkan pulang Selasa lalu. Baginda hari ini meluangkan masa hampir sejam menziarahi sebuah keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Tanjung Api di sini semalam.-BERNAMA