KOTA BAHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) akan memilih 2,000 penyokong bertuah secara rawak untuk menyaksikan perlawanan The Red Warriors menentang Pasukan Pelita Jaya, sebuah kelab dari Indonesia pada 9 Julai ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini.Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata pemilihan itu akan dilakukan pada program Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama pemain dan peminat bola sepak Kelantan, Sabtu ini. Katanya tiket percuma berkenaan merupakan inisiatif Kafa dalam menghargai kesetiaan penyokong terhadap pasukan itu selain untuk memeriahkan program bersama pemimpin nombor satu negara itu."Justeru kita meminta penyokong The Red Warriors hadir beramai-ramai ke program itu dengan berpakaian jersi rasmi pasukan...mereka mungkin antara 2,000 orang yang akan dipilih secara rawak oleh Kafa untuk menerima tiket percuma," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.Selain itu, beliau berkata pihak Kafa begitu menghargai kesudian Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri program khas bersama pemain dan penyokong Kafa itu."Kita semua sangat berbesar hati menyambut kehadiran Perdana Menteri kerana dalam majlis itu yang akan berlangsung pada pukul 2.30 petang di Sekolah Kebangsaan Machang 1, Machang, Perdana Menteri dijangka merasmikan Al-Hamra Academy atau singkatannya A.R.M.Y yang baru beberapa bulan ditubuhkan Kafa," katanya.-BERNAMA