NEW DELHI: Kebangkitan India sebagai gergasi sukan Asia tergugat selepas lapan atlet wanita utamanya dikesan positif bahan terlarang mengakibatkan pemecatan jurulatihnya dari Ukraine.Pada Isnin, "remaja emas" India" Ashwini Akkunji menyertai senarai pengambil bahan dadah, hingga memaksa Kementerian Sukan menyingkirkan jurulatih atletik Yuri Ogrodnik dalam satu tindakan drastik hari ini. Sekurang-kurangnya enam atlet yang dibimbing oleh beliau gagal dalam ujian doping di sukan antara negeri di Bangalore Jun lepas."Ya, ini hari yang muram buat sukan India. Terdahulu terdapat spekulasi tentang kaedah latihan mereka selepas mereka berterusan menang."Atlet dan staf latihan mesti bertanggungjawab terhadap hal ini (doping), tidak ada maaf," kata P.S.M. Chandran, presiden Persekutuan Perubatan Sukan India kepada Bernama hari ini.Jumaat lepas, Persekutuan Atlet India mengumumkan bahawa pelari pecut Ashwini, peserta kuartet 4X400 meter yang memenangi emas di Sukan Komanwel Delhi 2010 dan Sukan Asia di Guangzhou November lepas, dikesan positif 'anabolic steroids'.Ashwini, 23, dari negeri Karnataka juga memenangi emas dalam lari berhalang 400 meter di Guangzhou.Pelari pecut jarak sederhana lain yang prominen ialah Mandeep Kaur, Sini Jose (anggota pasukan 4X400 meter yang memenangi emas, Jauna Murma dan Priyanka Panwar juga gagal ujian doping, yang dikendali oleh Agensi Anti-Doping Kebangsaan (NADA) semasa pertandingan atletik 11-14 Jun di Bangalore.Presiden Vijay Malhotra menyelar atlet berkenaan kerana mencemar imej India."Nampaknya wujud komplot besar di sebalik skandal dadah ini, tidak saja atlet, tetapi pegawai lain juga terlibat," katanya dalam satu kenyataan.Kesemua atlet yang digantung mengaku tidak tahu menahu tentang hal itu kerana mendakwa mereka hanya mengambil makanan suplemen.-BERNAMA