suria

Gary pemain muda berjiwa besar

Gary Stevan Robbat. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN
Gary Stevan Robbat. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN
Gary Stevan Robbat. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESAN

AKSI pemain tengah skuad Olimpik Malaysia, Gary Stevan Robbat (gambar) sememangnya diharap bagi menguatkan lagi barisan muda negara meniti cabaran yang lebih besar selepas kejayaan Malaysia melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik zon Asia dengan mengalahkan Lubnan 2-1 bulan lalu.

Kejayaan itu begitu bermakna bukan sahaja kepada barisan semua pemain dan pengurusan, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut teruja dengan kemenangan ini, namun hakikat sebenarnya, Gary amat terkilan kerana terpaksa keluar padang ketika aksi rancak perlawanan gara-gara menerima dua kad kuning.

Ternyata pengalaman itu perit untuk diterima kerana risiko besar pasukannya berhadapan lawan semakin sengit dan bermain dengan sepuluh orang disebabkan aksi kasarnya ke atas pihak lawan.

“Ia satu pengalaman yang sangat perit tetapi saya dapat menghadapi dengan baik, lebih-lebih lagi rakan sepasukan telah berusaha keras menepis serangan lawan. Ketua jurulatih saya (Ong Kim Swee) begitu memahami dan menasihati saya agar tidak melakukan perkara yang sama pada masa akan datang.

“Saya dilayangkan dua kad kuning kerana mengasari pihak lawan dan saya akan pastikan cuba mengelak daripada melakukan aksi sama kelak,” katanya kepada Mingguan mStar.

Anak kelahiran Kedah ini berkata, pengalaman seperti itu adalah asam garam seorang pemain bola sepak dan yang paling penting baginya ialah cepat belajar dan baiki kesilapan jika ingin menjadi pemain yang lebih bagus.

“Sukan bola sepak sememangnya sudah sebati dalam diri saya. Sejak dari sekolah rendah lagi saya sudah aktif dengan bola sepak sehinggalah menyambung pelajaran saya di Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Sejak itu saya tidak lagi pandang ke belakang dan menumpukan sepenuhnya pada sukan ini sehingga terpilih mewakili negara untuk skuad remaja negara, skuad Harimau Muda B, seterusnya diserap ke pasukan Harimau Muda A dan kini membarisi pasukan Olimpik Malaysia.

“Saya tidak nafikan untuk sampai ke tahap ini bukan mudah kerana perlu bekerja keras bagi memastikan nama berada dalam senarai barisan utama. Untuk itu saya memberi fokus dalam setiap sesi latihan yang dijalankan dan akan menunjukkan aksi yang terbaik. Saya yakin, hanya dengan usaha keras sahaja yang mampu membuatkan diri kita berjaya,” jelas anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini.

Penyokong setia kelab Liverpool ini berkata, kejayaan yang dicapai ini tidak akan datang tanpa sokongan 100 peratus daripada keluarganya, malah itulah yang menjadikan dia semakin bersemangat untuk terus melakukan yang terbaik.

“Keluarga saya adalah perkara paling utama. Mereka turut berada di stadium jika saya menghadapi perlawanan di dalam negara. Pun begitu, kalau menyertai perlawanan luar negara, saya akan menghubungi mereka sebelum perlawanan,” katanya.

Peminat setia pemain tengah Manchester City, Nigel de Jong ini berkata, impiannya untuk bermain dengan skuad negara sudah tercapai dan kini akan cuba membantu pasukan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik tahun depan.

Jelasnya, ia bukan mudah tetapi, segalanya boleh tercapai, asalkan ada kesungguhan dan azam yang tinggi.

“Dalam hidup ini tidak ada yang mustahil. Dasarnya adalah keinginan diri. Jadi dengan itu juga saya turut menyimpan impian untuk beraksi dengan pasukan luar negara bagi menambah lagi pengalaman saya sebagai pemain bola sepak.

Tetapi sebelum itu, saya akan membantu mencapai misi utama pasukan ini,” katanya. Sementara itu, Gary bersama 28 lagi pemain lain bakal menjalani latihan dan pemilihan bermula esok sebelum berangkat ke Slovakia bagi latihan intensif di sana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain