suria

Bintang Asian Tour Sertai CIMB Asia Pacific Classic Minggu Depan

SINGAPURA: Dua pemain terkemuka Asia, Thongchai Jaidee dari Thailand dan Jeev Milkha Singh dari India, dan juga pemain nombor satu India ketika ini, S.S.P. Chowrasia, akan mengetuai cabaran 10 pemain terhandal Asian Tour pada kejohanan golf CIMB Asia Pacific Classic di Malaysia minggu depan.

Thongchai dan Singh, yang antara mereka berkongsi lima kali menjadi juara Order of Merit Asian Tour serta 19 gelaran juara kejohanan lain, akan bersaing dengan barisan pemain tidak kurang hebatnya untuk merebut hadiah lumayan berjumlah US$6.1 juta (RM19.52 juta) pada kejohanan yang diluluskan Asian Tour dan PGA Tour itu di Mines Resort and Golf Club dari 27 hingga 30 Okt.

Chowrasia, yang mendahului senarai Order of Merit; Tetsuji Hiratsuka dari Jepun; pemain Afrika Selatan Jbe Kruger dan Siddikur dari Bangladesh, yang mempamerkan permainan hebat pada kejohanan CIMB Asia Pacific Classic tahun lepas, adalah antara 48 pemain elit yang akan menyertai kejohanan itu.

Pemain Taiwan Chan Yih-shin, juara Terbuka Macau bulan lepas, dan pasangan Thailand Kiradech Aphibarnrat dan Chinnarat Phadungsil, melengkapkan barisan cabaran Asia, manakala Danny Chia dan Shaaban Hussin, akan menerajui cabaran Malaysia pada kejohanan itu.

Chowrasia, juara dua kali Asian Tour dan pemenang Avantha Masters di India Februari lepas, berkata dia yakin peluang untuk beraksi bersama para bintang PGA Tour, termasuk bekas pemain nombor satu dunia Vijay Singh dari Fiji, Angel Cabrera dari Argentina dan trio handalan dari Amerika David Duval, Lucas Glovera dan Stewart Cink, akan dapat meningkatkan kedudukannya dalam sukan ini.

Penganjur kejohanan CIMB Asia Pacific Classic, Malaysia, CIMB Group, merupakan antara kumpulan perbankan universal terkemuka ASEAN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Fujiwara Juara Supersports 600c

Artikel Lain