suria

Emir Kejar Mata Maksimum

PELUMBA pasukan M-Seki Liberty Honda Racing, Mohd Emir Firdaus Hasan (gambar) masih belum menyerah kalah dalam persaingan merebut gelaran juara CP115 menjelang pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 29 dan 30 Oktober ini.

Emir percaya peluang masih terbuka luas bagi mendapatkan mahkota Kejuaraan CP115 kerana ketika ini dia yang menduduki tangga ketiga dalam carta keseluruhan dengan 94 mata hanya dibezakan dengan 12 mata daripada Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang mendahului dengan 106 mata.

Pada masa yang sama dia hanya empat mata ketinggalan di belakang Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) di tempat kedua dengan 98 mata.

Menambahkan keyakinannya, Emir percaya dia mampu untuk menguasai perlumbaan hujung minggu ini berdasarkan peningkatan prestasinya di atas jentera Honda pada musim ini.

Bermula agak perlahan pada dua pusingan awal di Kangar (Pusingan 1) dan Batu Kawan (Pusingan 2) dengan menduduki tempat ke-12, Emir kemudian berjaya meningkatkan pencapaiannya dengan menduduki tempat keenam di Terengganu (Pusingan 3) sebelum tampil cemerlang untuk meraih gelaran juara pertama pada musim ini di Putrajaya (Pusingan 4).

Kemaraannya sedikit menurun ketika di Teluk Intan (Pusingan 5) namun pelumba kelahiran Pulau Pinang itu bangkit kembali untuk merampas tempat kedua pada perlumbaan di Alor Setar (pusingan 6) dan Kluang (Pusingan 7).

“Saya tidak sabar untuk kembali berada di atas jentera Honda saya dan memulakan perlumbaan minggu ini.

"Matlamat utama saya di Melaka adalah untuk mengutip mata maksimum dan cuba untuk memperbaiki kedudukan saya dalam senarai keseluruhan CP115. Saya mahu terus menghidupkan peluang untuk mengejar gelaran juara kerana pada masa ini saya hanya dibezakan dengan 12 mata berbanding Shahril,” kata pelumba 22 tahun itu.

Walaupun percaya dengan kemungkinan yang dia ada, Emir tidak mahu terlalu yakin kerana dia menjangkakan perlumbaan minggu ini pasti sengit.

“Meskipun prestasi saya agak baik sejak kebelakangan ini, saya tidak mahu terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku sewaktu perlumbaan nanti.

"Lagipun, pelumba-pelumba lain juga berada pada tahap terbaik terutamanya pada pusingan-pusingan akhir musim ini. Apa yang boleh saya lakukan adalah mencatur strategi yang mantap bagi perlumbaan nanti dan memastikan tahap kecergasan saya pada keadaan terbaik,” kata Emir yang turut mengambil bahagian dalam SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS.

Apabila di minta mengulas mengenai keadaan jentera Honda yang digunakannya, Emir berkata, “Sejak perlumbaan di Terengganu, keadaan jentera saya bertambah baik dan kini ia sudah 70 peratus bersedia untuk menghadapi perlumbaan. Baki 30 peratus lagi bergantung kepada cara tunggangan saya di Melaka nanti.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain