Fazli sedia melakukan yang terbaik pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS Stadium Hang Jebat, Melaka pada 29 dan 30 Oktober ini. HARAPAN Ahmad Fazli Sham untuk mengejar takhta kejuaraan CP130 masih tinggi dan dia bersedia untuk melakukan yang terbaik pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 29 dan 30 Oktober ini.Pelumba Pennzoil Racing ini menduduki tangga kedua keseluruhan dengan 79 mata dan dia percaya peluang baginya untuk meraih kejuaraan ketiga dalam kategori Expert/CP130 masih terbuka. “Selepas perlumbaan di Kluang, saya berada di kedudukan yang agak baik kerana berjaya merapatkan jurang dari 24 ke 15 mata dengan pendahulu, Norizman Ismail dari Harian Metro TEQ SCK Honda Racing yang kini memimpin senarai keseluruhan dengan 94 mata."Selain itu saya juga mempunyai kelebihan 16 mata berbanding pesaing terdekat, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) dan Mohd Taufiq Roslan (Yamah Maju Motor Racing) yang terikat di kedudukan ketiga dengan 63 mata."Oleh itu, tumpuan saya sekarang adalah untuk merapatkan lagi jurang mata dan saya mempunyai tiga pusingan lagi untuk melakukannya," kata Fazli yang memenangi gelaran Expert pada tahun 2007 dan 2008.Fazli berharap agar dapat terus mengekalkan momentum sebelum ini dan mahu mengutip mata maksimum."Itu merupakan perkara yang saya mahukan namun saya tetap berpuas hati jika dapat menamatkan perlumbaan di hadapan Norizman dan Affendi," katanya.Dalam pada itu, Fazli sedar bahawa prestasinya turun-naik sepanjang musim ini dan kegagalan mempamer aksi konsisten meletakkan harapan agar segala-galanya akan berjalan dengan lanar pada pusingan di Melaka."Setakat ini hanya dua kali saya dapat berdiri di atas podium. Kali pertama ketika memenangi perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 2) dan kali kedua pula sewaktu pusingan lepas di Kluang (Pusingan 7) di mana saya berjaya menduduki tempat ketiga," katanya.Pelumba 28 tahun berkata,pasukannya masih baru dalam Kejuaraan ini dan cuba berusaha membangunkan enjin."Kami juga banyak belajar daripada percubaan demi percubaan yang dilakukan."Cuma sebaik memasuki separuh musim ini barulah kami mencapai keputusan menggalakkan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kalangan lima tempat terbaik," jelasnya.