KUALA TERENGGANU: Terengganu tidak akan terburu-buru mengambil tindakan terhadap pemain import yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika khidmat mereka diperlukan.Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, adalah tidak wajar membuat penilaian negatif terhadap pemain import yang berkenaan memandangkan dalam perlawanan sebelum ini mereka mempamerkan aksi terbaik dengan disiplin masih di tahap yang baik. "Antaranya, kita tidak mahu terlalu cepat menghukum Erison Da Silva Santos Carnietto berikutan aksi hambar yang dipamerkannya sejak kebelakangan ini."Aksi Erison dilihat agak goyah ketika menentang Selangor PKNS dan Kelantan pada perlawanan Liga Super sebelum ini, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran awal, kita kena adil dan pantau sebaik mungkin," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.Selain Erison, pemain kelahiran Brazil yang beraksi di posisi pertahanan, seorang lagi pemain import dari Liberia, Francis Forkey Doe menjadi tonggak serangan berbisa di barisan hadapan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris.Mengenai cabaran Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan membuka tirai awal bulan depan, Che Mat yang juga merupakan Yang DiPertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menaruh harapan tinggi bahawa Terengganu mampu melepasi cabaran pusingan awal berdasarkan penilaian prestasi semasa.Terengganu yang berjaya menjulang Piala FA 2011, ditempatkan dalam kumpulan F bersama-sama pasukan Kitchee FC dari Hong Kong, Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Tampines Rovers (Singapura)."Walaupun Terengganu baru pertama kali menyertai cabaran ini, saya berpendapat pasukan dari Vietnam perlu diberikan perhatian sekiranya mahu melepasi pusingan awal."Saya harap mereka semua dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kejohanan ini," katanya. - BERNAMA