MELAKA: Malaysia menewaskan Korea Selatan 6-3 pada perlawanan kedua Kumpulan A Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, Sabtu.Ini membawa Malaysia hampir menempah tempat ke separuh akhir dan seterusnya layak ke Piala Remaja Dunia 2013 pada November tahun depan di New Delhi, India. Faisal Saari berjaya membuka jaringan pendahuluan menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Lee Seyong pada minit keenam menerusi pukulan sudut penalti sebelum Mohammad Syammim Mohd Yusof menambah jaringan pada minit ke-13.Pada minit ke-21, pasukan Korea yang mula bertindak agresif berjaya merapatkan jurang dengan Yang Jihun menyempurnakan pukulan sudut penalti.Korea Selatan kemudian dihadiahkan pukulan sudut penalti oleh pengadil perlawanan, Fernando Gomez pada minit ke-36 namun gagal memanfaatkan peluang itu.Benteng Korea Selatan terus goyah apabila sekali lagi diasak oleh pasukan negara yang berjaya menghasilkan gol pada minit ke-40 menerusi jaringan Amir Farid Ahmad Fuzi dan Korea terus tertekan apabila pukulan deras Faisal Saari menerjah gawang gol pada minit ke-45 untuk membolehkan Malaysia mendahului 4-1.Korea Selatan yang cuba bangkit berjaya memperoleh gol pada minit ke-48 melalui Jeong Youngseok dan sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-61 melalui ketua pasukan, Yang Jihun.Faisal Saari kemudian menjaringkan gol ketiganya pada minit ke-57 sebelum Muhammad Noor Faeez menyumbat satu lagi jaringan pada minit ke-68 membolehkan Malaysia menang bergaya 6-3.Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Jepun menewaskan Iran 3-1.- BERNAMA