suria

Chong Wei Akan Diberi Rawatan Terbaik - Dr Ramlan

SEPANG: Institut Sukan Negara (ISN) akan menghantar pasukan pakar perubatan untuk meneliti kecederaan yang dialami pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan seterusnya memberikan rawatan terbaik untuknya.

"Satu pasukan pakar perubatan yang terdiri daripada pakar radiologi, ortopedik dan fisioterapi akan meneliti kecederaan yang dialami Chong Wei esok di rumahnya sebelum menentukan rawatan lanjut di hospital mana," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Beliau berkata pada masa ini masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang kecederaan yang dialami Chong Wei tanpa pemeriksaan teliti.

"Kita akan periksa beliau...kita akan tengok keadaan fizikal beliau dan juga imbasan MRI yang dibawa balik itu. Mungkin kita perlu membuat imbasan yang lebih terperinci kerana imbasan yang dibuat di sana adalah secara kecemasan," katanya.

Dr Ramlan berkata keputusan mengenai bentuk rawatan terhadap Chong Wei hanya akan diketahui dalam masa satu atau dua hari selepas pemeriksaan awal itu.

"Kalau ikutkan pegawai perubatan di sana, kecederaan itu mungkin mengambil masa tiga atau empat minggu. Ia gambaran munasabah yang boleh kita jadikan panduan. Bagaimanapun, kita perlu mendapat gambaran lebih tepat selepas buat pemeriksaan lanjut," katanya.

Chong Wei, yang cedera buku lali kaki kanannya dan terpaksa berkerusi roda, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini pada pukul 6.25 petang ini dengan ditemani pegawai-pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau, yang mengalami kecederaan ketika beraksi menentang perseorangan Denmark Peter Hoeg Gade semalam, kelihatan sugul dan disambut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Bilik Khas, KLIA.

"Saya sedih dengan kecederaan ini. Saya tidak dapat turun bersama-sama pasukan untuk lawan dengan China. Saya hanya dapat ucap 'all the best' kepada mereka," kata Chong Wei, dengan air matanya bergenang menahan kesedihan.

"Saya kena terima kecederaan ini. Sukan Olimpik sudah dekat, mental saya perlu lebih kuat. Jangka masa agak pendek untuk saya pulih sepenuhnya. Sukan Olimpik kali ini amat sengit berbanding tahun 2008," katanya. Sementara itu, Ahmad Shabery berkata Kementerian Belia dan Sukan bersedia menghantar Chong Wei untuk menerima rawatan di luar negara sekiranya perlu.

"Bagi pihak kerajaan, kita akan berikan Chong Wei rawatan yang terbaik. Kalau dirasakan apa yang ada di dalam negara tidak cukup, kita akan usahakan untuk beliau mendapatkan rawatan yang lebih baik di luar negara.

"Biarlah dia tidak dapat membawa cabaran negara di Piala Thomas, kebimbangan yang lebih besar kepada kita ialah pada Sukan Olimpik," katanya.

Ahmad Shabery berkata kecederaan yang dialami Chong Wei mungkin memberi hikmah kepada pemain nombor satu dunia itu untuk mendapat rehat secukupnya dan mencari kekuatan mental bagi menghadapi saingan yang lebih besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain