suria

Atlet Negara Perlu Ada Semangat Patriotisme Tinggi

KUALA LUMPUR: Setiap atlet perlu mempunyai semangat patriotisme yang tinggi jika mereka mempunyai cita-cita besar untuk mengukir nama di pentas sukan tempatan dan antarabangsa.

Bekas pelumba trek negara Rosman Alwi berkata semangat itu perlu wujud dalam diri setiap atlet supaya mereka lebih bermotivasi apabila turun beraksi pada sesuatu temasya sukan.

"Atlet dulu menjadikan semangat patriotisme ini sebagai motivasi mencipta kejayaan.

"Kita perlu pastikan semangat keramat itu terus kekal dalam hati atlet muda agar mereka mempunyai daya tahan tinggi seperti atlet dahulu," katanya kepada Bernama di sini.

Menceritakan pengalamannya ketika bergelar pelumba kebangsaan pada era 1980-an, Rosman yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles dan Seoul pada 1988 berkata beliau terpaksa mencari duit sendiri bagi membeli rangka basikal berharga RM800.

"Saya masih ingat lagi ketika itu basikal yang saya guna adalah yang paling buruk dan lekeh berbanding pelumba lain sehingga ada yang memanggilnya 'basikal tua'. "Namun berbekal semangat tinggi bertanding untuk negara, saya berjaya menewaskan pelumba lain ketika itu," kata Rosman yang menjuarai Kejohanan Berbasikal Asia di Bangkok pada 1987.

Beliau juga mengingatkan atlet masa kini supaya tidak menjadikan ganjaran seperti Skim Hadiah Kemenangan Sukan sebagai matlamat utama untuk meraih pingat, sebaliknya beraksi demi mengharumkan nama negara.

Berkongsi pendapat sama ialah bekas jaguh heptathlon negara dan Olahragawati Kebangsaan 1982, Zaiton Othman yang berpendapat setiap atlet tidak kira daripada sukan mana perlu ada semangat patriotisme jika ingin berjaya dalam karier mereka.

"Atlet perlu terus mencari kemenangan untuk diri sendiri, keluarga serta negara dan bukannya mengejar ganjaran semata-mata kerana ia bakal memberi tekanan kepada atlet itu sendiri.

"Namun kita tidak boleh salahkan jika ada atlet yang menjadikan ganjaran sebagai motivasi untuk menang kerana keadaan dan tuntutan hari ini berbeza berbanding dulu," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 1981, Singapura 1983 dan Kuala Lumpur 1989 itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain