suria

Chong Wei Tempah Slot Suku Akhir Terbuka Korea

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Datuk Lee Chong Wei akan menggalas cabaran negara bersama Chong Wei Feng dan dua beregu negara pada suku akhir Kejohanan Badminton Super Siri Terbuka Korea di Seoul, pada Jumaat.

Pada saingan pusingan kedua hari ini, Chong Wei, tidak menghadapi masalah untuk mengatasi wakil Jerman, Marc Zwiebler dengan 21-11, 21-19 dalam masa 34 minit.

Bagaimanapun, pemain pelapis negara Wei Feng terpaksa berhempas pulas lebih sejam sebelum mencatatkan kemenangan ke atas pemain China, Gao Huan dengan keputusan 14-21, 21-18, 21-15.

Beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, selaku pilihan kedua kejohanan, meneruskan saingan dengan mengetepikan rakan senegara Gan Teck Chai dan Ong Soon Hock dengan 21-14, 21-17.

Bagaimanapun, beregu nombor dua negara, Goh Wei Shem dan Lim Khim Wah mencipta kejutan apabila menundukkan pilihan keempat kejohanan, Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa dari Jepun dengan 21-13, 21-15.

Mereka bagaimanapun bakal berdepan dengan cabaran getir di peringkat suku akhir apabila berdepan dengan beregu tuan rumah Lee Yong Dae/Koo Soo Hyun.

Lee dan Koo, selaku pilihan keenam kejohanan, melangkah ke suku akhir dengan menyingkirkan beregu muda dari Denmark, Rasmus Bonde dan Mads Conrad-Petersen dengan 21-14, 21-14.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying gagal mengikuti jejak rakan sepasukan selepas dikalahkan oleh pasangan Indonesia, Markis Kido dan Pia Zabedah Bernadeth, 21-12, 15-21 dan 13-21. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain