suria

Australia Lakar Kejuaraan Ketujuh Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-22

Pemangku Raja Perak Raja Dr.Nazrin Shah bergambar bersama Pasukan Australia yang menjuari Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-22 di Stadium Azlan Shah di Ipoh malam Ahad.-Foto BERNAMA
 Pemangku Raja Perak Raja Dr.Nazrin Shah bergambar bersama Pasukan Australia yang menjuari Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-22 di Stadium Azlan Shah di Ipoh malam Ahad.-Foto BERNAMA
Pemangku Raja Perak Raja Dr.Nazrin Shah bergambar bersama Pasukan Australia yang menjuari Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-22 di Stadium Azlan Shah di Ipoh malam Ahad.-Foto BERNAMA

IPOH: Australia mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan kali ketujuh Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-22 selepas mengatasi Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir di sini, malam Ahad.

Pemain Australia Trent Mitton meleburkan impian pasukan negara serta ribuan penyokong tempatan untuk melihat tuan rumah merangkul kejuaraan buat pertama kali apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70.

Australia, yang menduduki ranking kedua dunia, menjuarainya kejohanan tersebut pada edisi pertama 1983, 1998, 2004, 2005, 2007 dan 2011.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah turut berangkat bersama-sama Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim untuk menyaksikan perlawanan akhir di samping menyampaikan trofi kepada pasukan Australia yang diketuai oleh Robert Hammond.

Lebih 12,000 penyokong yang memenuhi setiap ruang Stadium Hoki Azlan Shah bersatu melaungkan sokongan di samping paluan gendang pembakar semangat untuk pasukan negara ternyata tidak pulang kecewa selepas anak buah Paul Revington dilihat telah mempamerkan permainan bertenaga dan cemerlang.

Malaysia memulakan perlawanan dengan penuh strategi apabila melancarkan serangan bertali arus untuk memburu gol pencetus semangat dan ternyata usaha itu berbaloi apabila Faisal Saari menjaringkan gol pembukaan seawal minit keempat.

Bagaimanapun, Australia, tidak gusar dengan gol awal itu malah mula membaca semua rentak serangan sebelum melancarkan gerakan kemas sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nicholas Budgeon pada minit ke-29.

Seminit kemudian, Craig Boyne meletakkan Australia di hadapan apabila menewaskan ketangkasan penjaga gol negara S. Kumar.

Dalam babak kedua, Malaysia turun dengan penuh semangat dan mendapat peluang menyamakan kedudukan namun Muhammad Razie Abdul Rahim gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

Bagaimanapun seluruh penyokong di setiap sudut stadium bergema semula apabila peluang gol penyamaan menjadi kenyataan pada minit ke-49 apabila Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil melakukan jaringan padang hasil hantaran Muhammad Marhan Mohd Jalil. Selepas terikat dengan jaringan 2-2, strategi kedua-dua pasukan dilihat berbeza untuk mencari gol kemenangan, bagaimanapun pada minit-minit terakhir perlawanan, gol padang Mitton mengesahkan Australia, yang dibimbing Ric Charlesworth, sebagai juara.

Sdebelum itu, pada perlawanan menentukan tempat, Korea Selatan mengalahkan juara bertahan New Zealand 2-1 untuk menduduki tangga ketiga manakala India mengatasi musuh tradisi Pakistan 4-2 untuk tempat kelima. -BERNAMA

Artikel Lain