KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup minggu hadapan berikutan persiapan akhir sebelum perlumbaan pusingan kedua Grand Prix Formula Satu (F1) berlangsung pada 28-30 Mac ini. Ketua Pegawai Eksekutif (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, penutupan litar adalah untuk melakukan sentuhan akhir sebelum F1 Malaysia. "Kita juga akan memantau perubahan pada bumbung yang baharu di pit bagi kemudahan semua peminat yang datang. "Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya berharap agar segala perancangan atau persediaan berjalan dengan lancar," katanya kepada mStar Online. Pusingan pertama F1 akan membuka tirai di Australia pada 16 Mac ini yang menyaksikan pelumba-pelumba menggunakan jentera baharu buat kali pertama. "Saya tidak sabar untuk melihat perlumbaan di Australia, nak tengok sebagus mana kereta-kereta baharu ini beraksi dan harap agar semua pelumba mampu habiskan saingan. "Aksi di Malaysia juga pastinya ditunggu-tunggu kerana negara kita memang terkenal dengan cuaca panas. "Keadaan hujan dan panas, biasanya memberi persaingan sengit ditambah pula enjin terbaharu (V6 turbo 1.6 liter) yang digunakan oleh jentera-jentera F1 ini memang sangat sukar dalam cuaca panas. "Dengan perubahan ini juga, ia turut menyaksikan pasukan Red Bull bukan lagi menjadi pilihan. "Perlumbaan F1 sama juga seperti bola sepak...apa sahaja boleh berlaku," ujarnya. Dalam pada itu, Razlan turut memberitahu penjualan tiket sehingga kini sudah mencapai separuh daripada sasarannya. "Sebanyak 50 peratus penjualan tiket sudah capai sasaran. "Ini bermakna 50 peratus tiket pada hari perlumbaab (Ahad) dsudah dijual. Kita masih lagi menyasarkan 90,000 pengunjung pada hari akhir. "Saya yakin penjualan akan terus meningkat menjelang hari perlumbaan dan senario ini sudah biasa berlaku," jelasnya.