KOTA BAHARU: Kapten Kelantan Mohd Badri Mohd Radzi menyifatkan pemain import mereka, Obinna Nwaneri mampu menyekat kelincahan penyerang Pahang Dickson Nwakaeme dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV pada Sabtu. Mohd Badri yang lebih mesra dengan panggilan Piya berkata ini kerana selaku bekas rakan sepasukan Obinna tahu corak permainan Nwakaeme. "Kita tahu yang dia (Nwakaeme) memang berbahaya walaupun bermain di pasukan lain, tetapi kita tahu Nwaneri yang telah lama bermain dengannya tahu cara untuk menyekatnya daripada menjaringkan gol," katanya. Piya juga mengakui selain gandingan Nwakaeme dan Matias Conti di bahagian serangan, Pahang mempunyai pemain lain seperti R. Gopinathan dan Hafiz Kamal yang mampu memberi masalah kepada Red Warriors. Akan tetapi katanya, Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri yang harus dimanfaatkan untuk kekal sebagai peneraju liga. Ketika ditanya mengenai jadual ketat yang dilalui pasukannya apabila perlu beraksi enam perlawanan dalam tempoh 17 hari termasuk pertemuan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Asia), dia berkata situasi itu menuntut persediaan mental dan fizikal pemain. "Musim lepas pun macam ini jadi kami perlu menghadapinya dan apa yang penting kita tidak melakukan kesilapan ketika perlawanan," katanya. Kelantan menjadi pendahulu liga selepas enam perlawanan dengan empat kemenangan dan tewas dua.