suria

Gimnastik: Olivia Tai Terpilih Ke Olimpik Remaja

Olivia terpilih untuk beraksi ke Sukan Olimpik Remaja Ogos ini.

KUALA LUMPUR: Gimnas negara Olivia Tai Qing Tong sah menempah tiket ke Sukan Olimpik Remaja di Nanjing, China pada Ogos ini.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) N. Shanmugarajah berkata pihaknya baru sahaja menerima surat rasmi daripada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) yang memperuntukkan seorang gimnas negara ke kejohanan edisi kedua itu.

"Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) memilih gimnas dari Malaysia untuk mewakili pasukan Asia ke Sukan Olimpik Remaja dan kita menerima keputusan rasmi daripada FIG pada Khamis yang mengatakan Olivia Tai terpilih. 

"Kita menerima tawaran itu dan MGF juga sudah memberi maklum balas terhadap surat itu pada Jumaat," katanya.

Beliau berkata Tai bagaimanapun tidak dimaklumkan lagi mengenai perkara itu dan beliau akan diberitahu mengenai kelayakan ini sebaik sahaja mesyuarat bersama badan pentadbiran MGF diadakan.

Shanmugarajah berkata penyertaan Tai ke kejohanan berkenaan merupakan antara pencapaian tertinggi yang pernah dicapai mana-mana gimnas negara serta MGF sendiri.

"Saya menyasarkan Olivia akan memperoleh pingat emas kerana saya yakin dengan kesungguhan dan kemampuannya untuk lakukan yang terbaik dan meraih pingat pada temasya berkenaan.

"Saya berharap ramai lagi para gimnas kita berusaha dan terpilih ke kejohanan besar seperti ini dan satu hari nanti berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 atau 2024," katanya.

Olivia terpilih ke Sukan Olimpik Remaja yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 28 Ogos ini melalui pencapaian cemerlangnya pada Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Asia ke-13 pada Februari lepas. 

Dia berjaya meraih pingat emas bagi acara individu apparatus belantan dengan catatan mata tertinggi, 14.500 mata, pingat perak bagi acara individu apparatus riben dengan pungutan 14.150 mata serta trio Tai, Shasangari Sivaneswary dan Koi Sieyan menduduki tempat keempat dengan pungutan 131.150 mata daripada 12 negara yang mengambil bahagian.

Secara keseluruhan, Tai menduduki kedudukan ketiga berkongsi kedudukan dengan Nilufar Shomuradova dari Uzbekistan dengan jumlah mata 42.150 selepas bersaing dalam empat disiplin (gelung, belantan, bola dan riben) pada pusingan kelayakan individu pada kejohanan itu.  

Kejohanan yang melibatkan penyertaan 16 negara Asia itu menawarkan empat slot ke Sukan Olimpik Remaja 2014, iaitu tiga gimnas terbaik dalam acara individu selain acara berkumpulan. 

Sejumlah 200 gimnas dan pegawai yang mewakili 16 negara Asia menyertai kejohanan berkenaan iaitu Kazakhstan, Krygstan, Uzbekistan, Mongolia, China, Jepun, Korea Utara, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Hong Kong, Indonesia, Taiwan, Lubnan dan Syria serta Malaysia selaku tuan rumah.

Olivia Tan, gimnastik, Sukan Olimpik

Artikel Berikut

Artikel Lain