suria

Pandelela Mahu Perbaiki Prestasi Di Dubai

Pandelela mahu perbaiki prestasi pada pusingan kedua Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 yang akan berlangsung di Dubai dari 22 hingga 24 Mac ini.
KUCHING: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg mahu memperbaiki prestasinya dalam pusingan kedua Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 yang akan berlangsung di Dubai dari 22 hingga 24 Mac ini.

Dia bermula dengan baik dalam pusingan pembukaan di Water Cube National Aquatic Centre di Beijing hujung minggu lepas apabila meraih perak dalam acara 10m platform individu dan gangsa bagi 10m platform seirama bersama Leong Mun Yee.

Atlet berketurunan Bidayuh dari Bau, Sarawak itu memberitahu Bernama sasarannya ialah memperbaiki prestasi dalam acara kegemarannya 10m platform

individu dan juga 10m platform seirama bersama Mun Yee.

"Saya dan Mun Yee gembira kami bermula baik dan sememangnya ini satu keputusan yang positif buat kami berdua tahun ini," katanya.

Dalam acara individu, Pandelela, 21, mengumpul 368.50 mata untuk meraih perak manakala dalam acara seirama dengan Mun Yee, mereka mengutip 303.96 mata bagi pingat gangsa. 

Acara 10m platform individu dimenangi oleh penerjun China yang juga pemenang pingat emas Olimpik London, Liu Huixia yang mengutip 412.90 mata, manakala gangsa menjadi milik atlet Britain, Tonia Couch yang mengumpul 357.90 mata. 

Selepas Dubai, kejohanan akan diteruskan di Britain (25-27 April), Moscow (2-4 Mei), Windsor, Kanada (30 Mei hingga 1 Jun) dan berakhir di Monterrey, Mexico (6-8 Jun).

Selain Pandelela dan Mun Yee, skuad negara dibarisi Cheong Jun Hoong, Ahmad Amsyar Azman, Ooi Tze Liang dan Wendy Ng.

Pandelela, FINA, terjun, Dubai

Artikel Berikut

Artikel Lain