Beliau berkata empat jurulatih asing antaranya dari England dan Bulgaria akan ditemu duga pada hari tersebut sebelum pemilihan ketua jurulatih baharu dimuktamadkan.
"Kita memberi ruang lebih terbuka kepada pemohon, kita tak nak dianggap memilih jurulatih suka-suka dan tidak ditemu duga terlebih dahulu. Kita melihat mereka (ketua jurulatih) daripada pelbagai aspek termasuk kos," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Isnin.
Beliau berkata pihaknya memilih pakar dalam bidang bola sepak dari luar negara adalah untuk menambah ilmu pemain supaya mereka dapat memantapkan lagi corak permainan.
"(Abu Bakar) bukan jurulatih tidak bagus dan tidak melaksanakan tugas, dia (Abu Bakar) tak ada masalah dengan pasukan. Burn (Abu Bakar) masih dengan Pafa kerana kontraknya dengan Pafa adalah sehingga 2015, mungkin selepas ini dia adalah (dipilih) sebagai jurulatih," katanya.
Beliau berkata Abu Bakar masih diberi mandat sepenuhnya untuk memilih barisan pemain menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Liga Super esok, sebelum ketua jurulatih baharu dipilih.
Mengenai desas-desus kononnya Velizar Popov dari Bulgaria merupakan bakal ketua jurulatih, Abdul Aziz berkata selagi surat rasmi tidak dikeluarkan beliau tidak dianggap sebagai ketua jurulatih.