suria

Moto2: Azlan Pamer Prestasi Positif

Aksi Azlan ketika di Litar Americas, Amerika Syarikat pada Ahad.

PELUMBA Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman mempamerkan aksi positif setelah berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-18 meskipun sekadar bermula dari petak ke-33 pada perlumbaan akhir Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Americas, Amerika Syarikat pada Ahad.

Lebih penting, pelumba Idemitsu Honda Team Asia itu berjaya memperbaiki catatan masa peribadi terbaik apabila merakamkan masa terpantas sepusingan 2:12.628s, jauh mengatasi catatan terbaik 2:13.795s yang dilakukan pada sesi kelayakan.

Azlan menamatkan 19 pusingan keseluruhan dengan masa 42:23.203s dalam perlumbaan yang dimenangi oleh Maverick Vinales (Pons HP 40) dengan masa 41:31.520s diikuti Esteve Rabat (Marc VDS Racing Team) dan Dominique Aegeter (Technomag) di tempat kedua dan ketiga, masing-masing dengan masa 41:35.529s dan 41:38.843s.

Azlan Shah Kamaruzaman


"Setelah bergelut untuk mendapatkan masa yang baik sepanjang sesi latihan dan kelayakan, saya gembira kerana dapat menyaingi pelumba lain di dalam perlumbaan akhir dan menamatkan perlumbaan di tempat 18. 

"Malangnya, saya bermula agak perlahan sebelum merapatkan diri dengan pelumba lain pada setiap pusingan. 

"Walau bagaimanapun, saya berpuas hati dan gembira dengan keputusan ini. Masih banyak yang perlu dipelajari dan boleh diperbaiki dan turut berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras untuk saya," jelasnya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Tadayuki Okada berpuas hati setelah Azlan mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlumbaan akhir dan menemui kelemahannya.

"Dia menjumpai kelemahannya dan tahu apa yang diperlukan untuk bersaing dengan pelumba lain.

"Saya berharap dia dapat menggunakan keleihan tersebut untuk berjuang di Argentina selepas ini, di mana litar tersebut merupakan litar baru kepada semua pelumba," katanya.

Artikel Lain