suria

Skuad Beregu Lelaki Negara Mara

Aksi pemain beregu remaja negara, Ooi Zi Heng (belakang) dan Ameer Amri Zainuddin (depan) ketika bertemu dengan lawan dari Rusia pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Isnin. - fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Pasangan Ooi Zi Heng/Ameer Amri Zainuddin melengkapkan kecemerlangan skuad beregu lelaki remaja negara selepas menundukkan lawan mereka dari Rusia pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2014 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Isnin.

Pasangan beregu yang baru diganding kira-kira empat bulan itu diheret bermain dalam set penentuan sebelum menang ke atas Sergey Molodov/Vladislav Soloviev 21-15, 18-21, 21-19.

Ameer Amri/Zi Heng akan berdepan Ben Lane/Sean Vendy dari England untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Menurut jurulatih beregu lelaki negara Chin Tze Seong, apa yang dicapai ketiga-tiga pasangan beregu itu adalah pencapaian terbaik untuk melepasi pusingan pertama terutama gandingan Ameer Amri/Ooi.

"Bagi Ameer dan Ooi, mereka baru berumur 16 tahun, ini adalah pertandingan pertama mereka di peringkat Remaja Dunia dan kejayaan hari ini bagus untuk ke tahap yang seterusnya.

"Untuk dua lagi pasangan beregu, saya sasarkan mereka boleh pergi lebih jauh," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Ditanya persediaan menghadapi lawan pada Selasa, Chin berkata peluang untuk kesemua beregu lelaki adalah 50-50.

"Kita akan tengok balik video dan kita akan buat persediaan dari segi strategi," katanya.

Pada perlawanan pusingan kedua pada Isnin, dua lagi beregu lelaki mara ke pusingan ketiga sekali gus mencuba nasib untuk ke suku akhir pada Selasa manakala dua daripada empat beregu campuran melangkah ke pusingan seterusnya.

Gandingan Chua Khek Wei/Ng Di Hua bakal berdepan pasangan Jepun Shimono Hashiru/Kanta Tsuneyama; pasangan Goh Sze Fei/Tan Jinn Hwa berdepan Muhammad Rian Ardianto/Clinton Hendrik Kudamasa dari Indonesia; beregu campuran Ooi Zi Heng/Yap Zhen akan menentang Rafiddias Akhdan Nugroho/Zakia Ulfa manakala Tan Jinn Hwa/Goh Yea Ching melawan pasangan Kenya Mitsuhashi/Chiharu Shida.

"Saya sasarkan berjaya ke separuh akhir dan sudah tentunya lawan paling kuat adalah dari China. Apapun kami akan cuba sebaik mungkin dan bermain dengan baik dari setiap peringkat ke setiap peringkat," kata Chua.

Turut beraksi pada Selasa, pasangan beregu wanita Eng Pui Yee/Tew Jia Jia berdepan gandingan Indonesia Apriani Rahayu/Rosyita Eka Putri Sari manakala Goh Yea Ching/Peck Yen Wei menentang pasukan Amerika Syarikat Victoria Chen/Crystal Pan.

Sementara itu, dua daripada empat pemain perseorangan wanita mara ke pusingan seterusnya bagi merebut slot ke suku akhir iaitu Goh Jin Wei yang akan berdepan Yvonne Li dari Jerman manakala Lee Ying Ying akan menentang pemain Korea Yoon Min Ah.

Turut berpeluang merebut slot ke suku akhir, dua daripada empat perseorangan lelaki iaitu Cheam June Wei yang akan menentang Ronan Gueguin dari Perancis manakala R. Satheishtharan berdepan pemain Korea Kim Hui Tae.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain