PRESIDEN Internazionale, Erick Thohir mengesahkan pada Khamis bahawa mereka sedang menimbang untuk membeli penyerang Manchester City, Edin Dzeko dan Chelsea, Fernando Torres. "Memang kami akan membeli penyerang baru musim depan dan mereka di bawah pemerhatian kami," kata Thohir sebagaimana dipetik oleh Gazzetta dello Sport. Beliau menambah yang Dzeko, penyerang Real Madrid Álvaro Morata serta Torres, menjadi sasaran utama Inter sekarang. Dzeko masih di bawah kontrak dengan City sehingga Jun 2015 dan penyerang Bosnia & Herzegovina itu telah menjaringkan 41 gol dalam 93 perlawanan liga. Musim ini sahaja dia telah menjaringkan 11 gol dalam 26 perlawanan musim ini. Torres, 30, menyertai Chelsea dari Liverpool dengan harga £50 juta pada Januari 2011, kini bukan lagi menjadi pilihan utama dan hanya sekadar mampu menjaringkan empat gol dalam 16 perlawanan musim ini. Morata, sementara itu semakin menjadi pilihan utama Madrid di bawah Carlo Ancelotti dan kini telah menjaringkan enam gol dalam 18 perlawanan La Liga.