PELUMBA Givi Honda Yuzy Racing Mohd Amirul Ariff Musa memohon maaf kepada Elly Idzlianizar Ilias kerana menyebabkan pelumba itu terkeluar daripada perlumbaan akhir CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berakhir di Terengganu Ahad lalu. Dalam pertarungan sengit pada pelumbaan akhir, Amirul bertindak secara agresif ketika memintas Elly di selekoh sempit sehingga berlaku pergeseran dan mengakibatkan pencabar dari pasukan M Seki Liberty Honda Racing itu terjatuh. Pun begitu, Elly tidak mengalami sebarang kecederaan namun kini jatuh ke tangga keenam dari tangga keempat dalam senarai keseluruhan selepas mengumpul 29 mata.Amirul berjaya menamatkan pelumbaan sebagai naib juara di belakang Zaidy Mohd Zaifaizal manakala Mohd Izzat Zaidi Salehan ditempat ketiga. "Ketika itu saya hanya memikirkan untuk mengejar Zaidy di hadapan. Apa yang bermain di fikiran saya adalah untuk memintas Elly walaupun sedar ruang di selekoh keempat itu sempit dan mempunyai risiko besar namun saya tetap melakukannya. "Saya meminta maaf kepada Elly dan pasukan M Seki Liberty Honda Racing di atas kejadian tersebut. Saya tidak bermaksud untuk menjatuhkannya dengan sengaja," jelas Amirul. Pengurus pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini turut terkejut dengan insiden tersebut namun akui ia bukan disengajakan. "Sudah lama Amirul berada di dalam pasukan ini dan kami cukup memahami karakternya. Dia memang secara tidak sengaja telah menyebabkan Elly terjatuh. Mudah-mudahan insiden sebegini tidak lagi berulang," jelas Yuzy. Selepas tiga pusingan, gelaran juara di Terengganu melonjakkan kedudukan Zaidy ke tangga teratas dengan mengumpul 58 mata manakala dua rakan sepasukannya dari Motul Yamaha YY Pang, Izzat Zaidi dan Tengku Amirul Haffiruddin berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan 52 mata dan 48 mata. Sementara itu Amirul di tangga keempat dengan 43 mata. Pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 31 May dan 1 Jun ini.