KOTA BAHARU: Pelatih bola sepak Skuad Projek 2019, Muhammad Hariz Mansor, mahu membuktikan kemampuannya semasa skuad itu beraksi di Jerman minggu depan.Sepanjang berada di sana dari 27 Mei hingga 13 Jun, skuad itu akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan. "Saya mahu menunjukkan prestasi cemerlang dalam usaha memastikan tempat saya dalam skuad terus terjamin," katanya. Selain cemerlang dalam aktiviti sukan, Muhammad Hariz, 12, juga pelajar tahun enam yang cemerlang dalam bidang akademik. Beraksi di posisi pertahanan itu, Muhammad Hariz mahu mencontohi idolanya iaitu pemain pertahanan pasukan Kebangsaan England, Gary Cahill dan pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak. Sementara itu, Guru Besar Yusoff Daud berkata majlis tersebut diadakan sebagai penghargaan kepada Muhammad Hariz yang bakal berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Kuala Lumpur bagi memudahkannya menjalani latihan pusat di Bukit Jalil. Ibu bapanya Mansor Abdul Ghani, 44, dan Mastura Muhammad, 38, berharap Muhammad Hariz akan berjaya dalam kariernya serta dapat memenuhi impian untuk menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti.