BEKAS penyerang Chelsea, Didier Drogba mengesahkan yang dia akan meninggalkan kelab Turki, Galatasaray sekaligus mencetuskan spekulasi yang pemain itu akan kembali bersama Jose Mourinho musim depan. Drogba mengumumkan keputusannya untuk tidak menyambung semula kontrak dengan Galatasaray melalui laman Instagram. Pemain berusia 36 tahun itu dibeli oleh Mourinho ketika dia pertama kali dilantik sebagai pengurus Chelsea dahulu. Hanya dua tahun sudah, jaringan gol Drogba membolehkan Chelsea menumpaskan Bayern Munich untuk muncul juara Piala Eropah buat pertama kalinya dalam sejarah kelab tersebut. Drogba pada 7 Mei lalu, merangkul Piala Turki bersama Galatasaray selepas menumpaskan Eskisehirspor 1-0. Galatasaray kini diurus oleh bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini.