PEMAIN tengah England, Jack Wilshere menyatakan telah bersedia dan 100 peratus cergas untuk mengharungi cabaran Piala Dunia di Brazil pada Jun. Keyakinan pemain Arsenal itu lahir selepas dia berjaya membantu kelab yang diwakili menjuarai Piala FA baru-baru ini. Pemain berusia 22 tahun itu kembali cergas selepas mengalami kecederaan buku lali ketika mewakili England menentang Denmark pada 5 Mac lalu. Wilshere kini berada di kem latihan England bagi melakukan persiapan menghadapi saingan sengit. "Ini adalah pengalaman pertama saya memenangi piala (Piala FA) dan tiada perasaan yang lebih baik daripadanya. "Saya telah menjalani latihan sejak tiga minggu lalu, dan berada dalam keadaan cergas," katanya. Jelasnya, dia juga mengimpikan kejayaan buat England pada Piala Dunia kali ini dan akan berusaha untuk membawa pulang piala berprestij itu.