ARSENAL dilaporkan semakin hampir mendapatkan pertahanan Olympiakos, Kostas Manolas yang menjadi sasaran Manchester United pada tingkap pemindahan musim panas ini. Menurut Goal.com, pemain berusia 23 tahun itu akan menjalani ujian perubatan bersama skuad The Gunners sebelum urusan pembelian pemain diteruskan oleh Arsenal. Pengurus kelab di utara London itu, Arsene Wenger kini memerlukan seorang pertahanan tengah bagi menggantikan Thomas Vermaelen yang berhijrah ke Barcelona. Laporan sebelum ini mendedahkan, selain United, Bayern Munich antara kelab gergasi yang mahukan Manolas bersama mereka. Bagaimanapun situasi dan harapan dua kelab itu bakal terkubur kerana Arsenal dijangka akan memenangi persaingan mendapatkan Manolas.