suria

Bola Jaring Asia: Singapura Sekat Malaysia Ke Final

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal melangkah ke final Kejohanan Bola Jaring Asia 2014 setelah kalah 39-46 kepada juara bertahan Singapura pada saingan separuh akhir di Arena OCBC di Singapura pada Sabtu.

Singapura akan bertemu juara empat kali Sri Lanka pada final pada Ahad.

Sri Lanka mengesahkan slot final apabila mengalahkan bekas juara 1993, Hong Kong dengan kiraan 57-42 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Dalam pertemuan dengan Malaysia, Singapura mendahului 15-11 pada suku pertama sebelum menjarakkan kedudukan kepada 27-23 pada suku kedua perlawanan.

Memburu gelaran ketiga selepas 2005 dan 2012, Singapura menambah tekanan serta melancarkan serangan untuk mendahului 38-32 pada suku ketiga sebelum mencapai keputusan muktamad 46-39 pada akhir suku keempat perlawanan.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Jaring Singapura, Malaysia akan berdepan dengan Hong Kong pada perlawanan menentukan tempat ketiga.

Negara lain yang bersaing dalam kejohanan edisi kesembilan itu ialah India, Jepun, Vietnam, Brunei Darussalam, Taiwan dan Myanmar.

Sebagai rekod, Malaysia muncul juara pada edisi sulung di Kuala Lumpur pada 1985, naib juara pada 2005 di Singapura dan tempat ketiga pada edisi 2009 di Kuala Lumpur dan 2012 di Sri Lanka.

Juara kejohanan ini akan menerima tiket automatik ke Kejohanan Piala Dunia di Sydney, Australia, pada September tahun depan.

bola jaring asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain