JOHOR BAHARU: Datuk Ahmad Ismail berjaya mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) buat penggal keempat selepas menang mudah pada pemilihan sempena Mesyuarat AgungTahunan (AGM) badan sukan pada Sabtu. Dalam pertandingan satu lawan satu, Ahmad menerima 50 undi untuk menewaskan pencabarnya, Mohd Shapian Ali iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), yang hanya memperoleh 20 undi. Dalam mesyuarat selama empat jam itu, sebanyak 71 perwakilan hadir bagi memilih barisan kepimpinan baharu PSM bagi tempoh 2014-2017. Bagi jawatan Timbalan Presiden, Akramuddin Abd Aziz, yang juga Presiden Persatuan sepak Takraw Melaka, turut mencapai kemenangan mudah apabila mengalahkan Datuk Markiman Kobiran dengan kelebihan 33 undi. Akramuddin memperoleh 52 undi manakala Markiman mendapat 19 undi. Tiga Naib Presiden baharu yang dilantik terdiri daripada Datuk Khairuddin Samad, Fudin Chee Kifli dan Mohd Yusof Ismail, masing-masing merupakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Putrajaya, Sarawak dan Kedah. Dalam sidang media selepas mesyuarat itu, Ahmad, yang memegang jawatan No 1 PSM sejak 2002, bukan sahaja bersyukur dapat mempertahankan jawatannya tetapi meluahkan rasa gembiranya terhadap kepercayaan perwakilan yang diberikan kepada sebilangan besar calon pilihannya. Bagi "Saya memilih untuk mempertahankan jawatan ini selepas melihat calon yang bertanding terdiri daripada ahli majlis sendiri. "Sebagai penyandang, saya lebih tahu siapa yang betul-betul komited dengan tugas, siapa yang berkemampuan dan siapa yang boleh memberikan masa mereka untuk kepentingan PSM,", katanya. Ahmad juga berharap hubungan setiap ahli gabungan termasuk PSTNT yang diterajui oleh pencabarnya Mohd Shapian tidak akan terjejas dengan keputusan pemilihan itu. Beliau berkata meskipun terdapat sedikit perbezaan pendapat, namun mereka masih satu keluarga besar yang perlu bekerjasama dengan baik demi kepentingan sepak takraw di Malaysia. Sebagai langkah awal membawa perubahan dalam sukan itu, beliau berkata Terengganu dipilih sebagai venue pertama Liga Sepak Takraw bermula November ini. PSM sebelum ini sering kali dilanda krisis selepas banyak pihak mempertikai kredibiliti pucuk pimpinan yang diterajui Ahmad selepas prestasi skuad negara merudum di persada antarabangsa termasuk gagal merangkul pingat emas dalam siri Sukan SEA sejak 2005.