LONDON: Manchester City membelasah Sheffield Wednesday 7-0 manakala Chelsea membenam Bolton Wanderers 2-1 bagi membolehkan kedua-dua pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu menjadi pesaing dalam merebut gelaran juara Piala Liga. City mempamerkan taringnya dengan menghasilkan tujuh gol dalam tempoh 45 minit separuh masa kedua menerusi dua jaringan Frank Lampard dan Edin Dzeko. Lampard tampil sebagai hero dengan menghasilkan jaringan pembukaan pada minit ke-47 selepas mendapat hantaran James Milner bagi membolehkan bekas pemain Chelsea itu menjaringkan gol kedua peribadi. Lampard menghasilkan jaringan pertama ketika bertemu Chelsea Ahad lalu. "Saya sangat gembira kerana melihat aksi sebuah pasukan seperti tahun lepas. "Cubaan untuk mengekalkan piala adalah sangat penting. Tetapi apa yang lebih penting ialah pemain bermain seperti yang dikehendaki," kata pengendali City, Manuel Pellegrini. Sementara itu, Chelsea kembali memberi kepercayaan kepada Petr Cech untuk mengawasi sudut paling berharga dalam permainan bagi mendapatkan kemenangan ketika menentang Bolton. Gol Chelsea dijaringkan oleh Kurt Zouma yang turut membuat penampilan pertama pada minit ke-25 sebelum Matt Mills menyamakan kedudukan. Bagaimanapun, Oscar memberi kemenangan kepada Chelsea dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-55.