suria

Nishikori Juara Perseorangan Tenis ATP Terbuka Malaysia 2014

Kei Nishikori bersama trofi yang dimenanginya selepas menang perseorangan lelaki kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2014 pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, pemain nombor lapan dunia Kei Nishikori menjuarai acara perseorangan Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia 2014 selepas menewaskan Julien Benneteau di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Pemain Jepun itu merangkul gelaran selepas berhempas-pulas untuk menundukkan Benneteau dalam set pertama sebelum menundukkan pemain Perancis itu yang juga pilihan ke-28 dunia dengan 7-6(4) dan 6-4 dalam masa satu jam 47 minit.

Nishikori berkata beliau gembira memenangi apa yang disifatkannya sebagai perlawanan yang sengit menentang Benneteau.

"Saya menghadapi permulaan yang sukar, dia bermain dengan agresif pada set pertama tetapi saya mengambil peluang untuk mengatasinya pada akhir set pertama. Pada set kedua, dia kelihatan letih.

"Saya sekali lagi mengambil peluang dan meningkatkan tahap permainan saya walaupun saya tidak beraksi dengan terbaik hari ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Berikutan kemenangan ini, Nishikori membolot hadiah AS$165,000 (RM537,817) yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Pilihan utama yang mara ke perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun ini, Nishikori menewaskan pemain Australia, Marinko Matosevic di pentas suku akhir sebelum menundukkan pemain Finland Jarkko Nieminen pada separuh akhir.

Sementara itu, Benneteau yang tewas pada pusingan akhir bagi kali ketiga, menerima hadiah AS$86,910 (RM283,283) yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Dalam acara beregu, pasangan Marcin Matkowski (Poland) dan Leander Paes (India) muncul juara selepas menumpaskan Jamie Murray (Britain) dan John Peers (Australia) pada final hari ini.

Pilihan keempat Matkowski/Paes menumpaskan pasangan lawan yang lebih muda, yang disenaraikan sebagai pilihan kedua dalam kejohanan, 3-6, 7-6(5) dan 10-5 dalam masa 90 minit.

Matkowski berkata kemenangan itu adalah permulaan yang baik berpasangan dengan Paes.

"Saya rasa kami harus bertarung dalam lebih banyak kejohanan secara bersama dan menjuarai lebih banyak kejohanan," kata beliau.
Juara beregu menerima hadiah AS$50,130(RM163,398).

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain