suria

Fernando Alonso Tinggalkan Ferrari Musim Depan

Alonso ketika beraksi di GP Rusia, Ahad 12 Oktober 2014.

> Alonso telah bersama Ferrari selama lima musim

> Sebastian Vettel disebut-sebut sebagai penganti

> Alonso sendiri masih membisu mengenai pasukan barunya

> Tetapi dia menafikan bakal sertai Mercedes

Ferrari bakal memiliki pemandu baru musim depan apabila Presiden Ferrari, Luca Di Montezemolo mengumumkan yang Fernando Alonso akan meninggalkan mereka.

Alonso telah bersama Ferrari sejak 2010, tetapi Luca Di Montezemolo menjelaskan kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menamatkan kontrak masing-masing lebih awal.

Pemandu asal Sepanyol itu masih memiliki kontrak bersama Ferrari sehingga hujung 2016.

"Fernando telah membuat keputusan untuk meninggalkan Ferrari atas dua sebab. Pertama kerana dia mahukan persekitaran yang baru dan kedua dia berada di persimpangan umur yang menuntutnya tidak boleh tunggu lagi untuk menang," jelas Montezemola dalam satu temuramah dalam siaran televisyen Itali.

Alonso dikatakan telah hilang kepercayaan di atas kemampuan Ferrari untuk menyediakan kenderaan yang mampu menang kejuaraan dunia sekali lagi tidak sepertimana era Michael Schumacher yang memenangi empat daripada tujuh kejuaraan dunia bersama Ferrari.

Dia kini berada di kedudukan keenam dalam senarai pemandu dengan hanya baki tiga lagi perlumbaan yang masih ada.

"Ya Fernando berasa kecewa kerana dia tidak muncul juara sejak beberapa tahun ini dan dia merasakan yang dia memerlukan lonjakan baru,' ujar Montezemolo lagi.

Alonso, 33, juara dunia sebanyak dua kali telah memberi indikasi mengenai kedudukannya musim depan selepas GP Rusia Ahad lepas.

Pengumuman yang dibuat oleh Ferrari itu akan mencetuskan spekulasi yang Sebastian Vettel bakal mengantikan tempat Alonso.

Vettel juga telah mengumumkan minggu lalu yang dia akan meninggalkan Red Bull Infiniti musim depan tetapi tidak menyebut akan menyertai pasukan mana.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen akan tamat kontrak bersama pasukan itu hujung tahun depan.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan