KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Exco Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi penggal 2015-2018. Tengku Abdullah yang sekian lama berkecimpung dalam dunia bola sepak yakin penglibatannya dalam Exco FIFA mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada Asia, malah kepada Malaysia sendiri. "Saya mengumumkan akan bertanding untuk posisi Exco FIFA dan bersedia dengan pemilihan tersebut bagi memastikan sukan bola sepak Malaysia dan Asia diberi jaminan terbaik. "Saya percaya pertandingan merebut tiga tempat bersama lima calon lain bakal menjadi 'fair play' dan percaya berdasarkan merit dan pengalaman, saya patut berada di sana," katanya dalam satu sidang media khas di Hotel Royale Chulan, Jumaat. Tengku Abdullah berkata, motto '1Suara 1Asia' digambarkan sebagai suara gabungan satu Asia. "Jika saya menang jawatan itu, dua perkara utama yang saya akan ketengahkan iaitu memastikan slot ke Piala Dunia ditambah kerana benua Asia adalah yang terbesar. "Yang kedua, kerusi di dalam FIFA bagi negara Asia perlu ditambah kerana sekarang hanya ada empat tempat sahaja. "Kita perlu mendapat lebih banyak tempat di dalam FIFA berdasarkan saiz populasi negara Asia serta separuh daripada tajaan bola sepak dunia hadir dari negara Asia," jelasnya. Dalam masa sama, Tengku Abdullah juga percaya sekiranya berjaya berada di kerusi Exco itu, sudah tentu banyak kelebihan kepada bola sepak negara. "FIFA sudah nampak bahawa Malaysia sebuah negara yang boleh majukan sukan ini. "Sudah pasti akan memberikan banyak keuntungan kepada negara dalam soal pembangunan kejurulatihan serta pemain dan mendapatkan bantuan kewangan," katanya. Tengku Abdullah bakal bertanding bersama lima calon lain bagi merebut tiga kerusi yang ditawarkan bagi slot Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) termasuk calon dari Thailand Worawi Makud yang sememangnya sudah berada di kerusi tersebut bagi penggal sebelum ini. "Kalau boleh kita akan berbincang semula strategi kerana terdapat dua calon dari Asean. "Calon dari Thailand mempunyai kelebihan tersendiri, namun saya juga ada kelebihan sendiri. 'The best man win, and the best is me'," katanya.