suria

KJ Akan Bertemu Atlet Gagal Ujian Doping

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan bertemu dengan atlet yang gagal ujian doping dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu itu.

Khairy berkata, atlet tersebut, dipercayai Datuk Lee Chong Wei tidak berada di tanah air ketika ini dan hanya akan pulang pada Selasa.

"Saya difahamkan beliau (atlet) akan balik ke tanah air esok, selepas saya berjumpa kita akan buat keputusan.

"Tarikh sebenar saya belum tahu lagi sebab beliau pun belum balik lagi, mungkin jumpa esok atau lusa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di sini, Isnin.

Menurut Khairy, antara yang akan diputuskan dalam perjumpaan itu termasuklah siapa yang akan bersama atlet tersebut untuk ujian sample B yang dijadualkan dilakukan pada 4 atau 5 November ini di Oslo, Norway.

Katanya, beliau berkemungkinan besar akan menghantar Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz sebagai pengiring.

Dalam pada itu Khairy memberitahu, tidak ada keperluan untuk mengenakan hukuman peringkat dalaman untuk atlet yang gagal ujian doping pada masa akan datang seperti yang dicadangkan.

"Kita tak perlu ada 'internal punishment' sebab siapa-siapa yang bersalah dari segi doping akan menjalani penggantungan secara automatik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kes berkenaan.

Katanya, walaupun jawatankuasa itu dilihat hampir sama dengan jawatankuasa sedia ada dalam kementerian, tetapi ia dianggap penting kerana BAM lebih mengetahui segala maklumat mengenai atlet terbabit.

"Dengan adanya jawatankuasa ini, kita akan dapat tahu lebih teliti apa sebenarnya yang berlaku...kalau ujian negatif maka tak ada masalah.

"BAM tahu segala maklumat atlet terbabit, kita boleh cantum dua jawatankuasa tersebut, tak ada masalah," katanya.

Minggu lepas, seorang atlet dilaporkan positif ujian doping tetapi nama dan butirannya dirahsiakan sehingga keputusan sampel B diketahui.

Atlet tersebut yang dipercayai Chong Wei antara yang dipilih secara rawak untuk menjalani ujian doping.

Doping, Umno, BAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain