KUALA LUMPUR: Malaysia gagal menamatkan badi kekalahan kepada musuh tradisi, Thailand selepas tumpas 2-1 pada aksi final Kejohanan Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2014 di Nay Pyi Taw, Myanmar. Pada perlawanan di Stadium Tertutup Wunna Theik pada Ahad, skuad kendalian NajibIman, bagaimanapun menampilkan semangat melawan sebelum kalah pada set penentuan. Thailand yang merupakan pasukan pilihan terlebih dahulu di hadapan apabila menewaskan regu Malaysia 22-20 pada set pertama, sebelum skuad negara bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua dengan kemenangan 21-18. Pada aksi penuh dramatik pada set ketiga dan penentuan, pasukan negara terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila kalah tipis 21-23. Dalam pada itu, Najib memuji prestasi yang dipamerkan anak buahnya, namun mengakui nasib tidak menyebelahi mereka. "Ini merupakan aksi terbaik yang disajikan oleh para pemain dan saya sangat bangga kerana mereka menjalankan tugas dengan baik. "Kurang cergas selain faktor tekanan yang tinggi untuk meraih kemenangan mungkin menjadi penyebab utama pasukan kita kalah tapi bagi saya, ia lebih kepada nasib tidak menyebelahi kita untuk menang," Najib dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang rasmi Istaf www.sepaktakraw.org. Tuan rumah, Myanmar pula menundukkan Singapura 21-18 dan 21-13 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. Thailand mengesahkan kejuaraan berganda selepas skuad wanita mereka mengalahkan Vietnam menerusi kemenangan 21-18, 21-13 pada aksi final. Skuad wanita Myanmar pula terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan Indonesia dalam aksi tiga set 21-19, 22-24 dan 21-16 untuk menduduki tempat ketiga. Malaysia sekadar menamatkan cabaran di tempat kelima selepas mengalahkan Jepun 21-17, 21-16. Kejohanan Siri Super Istaf yang diperkenalkan pada 2011, akan diteruskan pada tiga lagi pusingan iaitu di Korea Selatan, Indonesia dan Filipina. Namun Istaf masih belum menetapkan tarikh sesuai bagi setiap pusingan berkenaan.